Budaya cop parkir, jika lakukan kesalahan berulang boleh penjara hingga 12 bulan

1594

Masalah segelintir individu yang ‘cop’ parkir bukan lagi isu baru yang mana sering kali berlaku di kawasan perumahan teres, flat mahupun lot kedai.

Selain itu, situasi ini juga berlaku di pusat membeli-belah. Budaya cop parkir ini dilakukan individu tertentu dengan meletakkan ‘tanda’ atau objek misalnya kon, tong gas atau botol di petak parkir kosong.



Isu ini kembali tular di media sosial apabila individu meletakkan kon di petak parkir sebuah kawasan perumahan sehingga mengundang kemarahan warga net.

Menurut laporan Harian Metro, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Nurul Nadiah Zainol budaya sedemikian sering berlaku di kawasan perumahan dengan jumlah petak parkir terhad dan tiada halangan untuk orang luar keluar dan masuk. 

“Sesetengah penduduk yang tidak bertanggungjawab ini meletakkan objek seperti ampaian, pasu bunga, tong besar, kon dan lain-lain di petak parkir yang ingin gunakan bagi mengelak kereta lain parkir,” jelasnya.

ANGGAP COP PARKIR TAK SALAH

Ini kerana penduduk perlu berebut dengan orang luar yang bebas memasuki kawasan perumahan itu untuk meletakkan kereta kerana bukan tempat letak kereta berpalang dan tiada pengawal keselamatan.

Selain itu, segelintir masyarakat masih lagi kurang sedar dengan hak dan limitasi sebagai pengguna harta benda atau hak milik awam.

“Mereka beranggapan bahawa ‘cop’ parking bukan menjadi satu kesalahan kerana mereka adalah penduduk atau pemilik unit di kawasan perumahan itu.

“Walaupun mereka adalah pemilik unit rumah di kawasan itu, sekiranya harga rumah yang dibeli tidak termasuk dengan petak parkir (atau juga dikenali sebagai petak aksesori), mereka tiada hak untuk menjadikan mana-mana petak parkir sebagai hak milik, dan mereka juga tidak boleh menghalang orang lain untuk parkir di petak itu,” katanya.

PENJARA

Budaya cop parkir adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana petak parkir itu adalah hak milik awam, maka mana-mana individu tiada hak untuk mendesak atau menghalang individu lain daripada menggunakan petak parkir itu.

Individu yang sengaja ‘cop’ parkir ini boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Sekiranya kesalahan berulang kali kedua atau lebih, individu itu boleh dikenakan denda maksimum RM4,000 atau penjara tidak lebih dua belas bulan, atau kedua-duanya; seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya, masalah tersebut boleh diatasi dengan kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu kerap membuat pemantauan di kawasan parkir kereta awam terutamanya di kawasan perumahan yang padat dengan penduduk.

“Pembangunan tempat letak kereta bertingkat di kawasan lapang yang terdekat (sekiranya ada) juga perlu dipertimbangkan,” katanya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here