Pakar: Cadang hadkan umur minimum pembonceng bermula 5 tahun

1514

Data Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menunjukkan penunggang dan pembonceng motor kekal menjadi korban nahas jalan raya paling ramai sejak bertahun-tahun lamanya.

Sejak 20 tahun lalu penunggang dan pembonceng motosikal mewakili 60 peratus daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya dengan 45 peratus membabitkan mangsa berusia 16 hingga 30 tahun.

Justeru itu, timbul persoalan tentang keberkesanan undang-undang sedia ada berkaitan amalan membonceng penunggang di Malaysia antaranya anak kecil yang tidak menggunakan topi keledar dan ibu bapa menggendong bayi. 



TIADA PERUNTUKAN KHAS PEMBONCENG KANAK-KANAK

Selain itu, pakar juga membangkitkan tentang ketiadaan peruntukan khusus tentang pembonceng kanak-kanak.

Pakar keselamatan jalan raya, Prof Madya Dr Law Teik Hua menegaskan perlu menetapkan umur minimum untuk pembonceng kanak-kanak.

Walaupun Akta Pengangkutan Jalan (1987) menetapkan bilangan individu menaiki sebuah motosikal tidak melebihi dua orang, peruntukan sedia ada tidak menyebut tentang umur minimum serta saiz fizikal pembonceng kanak-kanak.

Keadaan itu menyumbang kepada permasalahan semasa yang mana kanak-kanak berusia bawah lima tahun dibenarkan membonceng motosikal sedangkan perbuatan tersebut berbahaya bagi golongan berkenaan.

“Kanak-kanak umur bawah lima tahun tidak sepatutnya menjadi pembonceng kerana semasa peringkat umur itu mereka belum lagi boleh menstabilkan tubuh ketika duduk atas motosikal selain kaki juga tidak sampai ke pemijak.

“Pembonceng motosikal perlu pandai mengikut lenggok dan rentak penunggang semasa membelok dan sebagainya, sedangkan pada usia itu tahap pemikiran kanak-kanak masih belum mampu memproses tindak balas yang bersesuaian dengan pergerakan penunggang dan motosikal, kerana itulah pentingnya ada penetapan umur minimum,” jelasnya.

Tambahnya, isu itu pernah dibincangkan namun tiada perkembangan lanjut mengenai saranan itu sehingga kini.

Misalnya, beberapa buah negara barat bukan sahaja menetapkan umur minimum, tetapi juga beberapa kriteria lain seperti saiz tubuh termasuk ketinggian sebelum kanak-kanak dibenarkan menjadi pembonceng motosikal.

TETAPKAN UMUR KANAK-KANAK BOLEH MEMBONCENG

Menurut Law yang juga Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), lima negeri di Amerika Syarikat (AS) mempunyai undang-undang sedemikian yang menetapkan umur minimum pembonceng antara lima dan lapan tahun.

Arkansas misalnya, menetapkan pembonceng motosikal berumur sekurang-kurangnya lapan tahun manakala Hawaii mensyaratkan tujuh tahun dan Louisiana, Texas serta Washington masing-masing menetapkan umur lima tahun.

“Sama ada perlu digubal akta baharu atau pinda sahaja akta sedia ada, itu terpulang kerana yang penting sudah tiba masanya negara melaksanakan penetapan umur minimum.

“Kita bimbang tentang keselamatan kanak-kanak ini, ditambah pula tidak memakai helmet, kerana risiko kecederaan itu tinggi disebabkan ada kemungkinan pegangan mereka pada penunggang terlepas apabila (motor) terlanggar lubang atau (mereka) tertidur,” katanya.

Isu ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan statistik Polis Diraja Malaysia pada 2019 menunjukkan sebanyak 1,000 daripada 6,167 kematian akibat nahas jalan raya pada tahun berkenaan adalah kanak-kanak.

SYOR UMUR LIMA TAHUN 

Ditanya umur minimum yang sesuai, Law mengesyorkan lima tahun, selain kebanyakan kanak-kanak pada usia itu turut mempunyai ketinggian dan saiz badan yang membolehkan mereka menstabilkan diri ketika membonceng.

“Mungkin ada yang tidak setuju dengan cadangan penetapan umur minimum ini kerana kebanyakan penunggang motosikal adalah daripada golongan berpendapatan rendah ataupun B40 yang tiada kereta, jadi sukar membawa ahli keluarga ke satu-satu lokasi.

“Namun ini membabitkan nyawa dan undang-undang sebegini dapat mendidik serta meningkatkan kesedaran masyarakat untuk lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan anak mereka,” katanya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here