Curi 72 tan rel kereta api, 13 individu ditahan

715

Seramai 13 individu termasuk seorang wanita diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kes kecurian rel kereta api seberat 72 tan membabitkan kerugian RM90,000 dalam kejadian di kawasan yard Stesen Keretapi Gemas, Tampin, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, kesemua suspek berusia 35 hingga 56 tahun ditangkap sepasukan pegawai dan anggota bermula Isnin lalu sehingga hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek ditangkap di beberapa lokasi di empat negeri iaitu di Rompin, Pahang; Jalan Campbell, Seremban (Negeri Sembilan), Klang (Selangor) dan Masai (Johor).



“Polis menerima laporan daripada seorang wanita yang juga merupakan Pegawai Tadbir Perbadanan Aset Keretapi (RAC) pada pukul 6.22 petang, Jumaat lalu berhubung kehilangan rel keretapi berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati pekerja dari syarikat yang mengaku bekerja di bawah RAC bagi tugas-tugas pengambilan harta benda iaitu besi landasan terpakai telah mengambil rel terpakai tersebut dengan menunjukkan surat palsu dari RAC.

“Menerusi beberapa siri tangkapan serta serbuan tersebut, polis telah merampas barang kes seperti telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dan dua keping invois pembelian besi buruk,” katanya.

Ujar Anuwal lagi, turut dirampas ialah tiga buah lori beserta kunci dan 10 kepingan besi rel seberat kira-kira 24 tan.

“Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari dari tarikh tangkapan bagi membantu siasatan. Kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut bagi kes ini masih diteruskan,” katanya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here