#TahukahAnda: Toyopet jenama di bawah Toyota, tetapi gagal di Amerika

555

Dalam siri anime identiti budaya, lokasi bahkan produk Jepun di dunia realiti digunakan dalam plot penceritaan dan pementasan grafik.

Kerana itulah ada dalam kalangan peminat tegar anime akan memburu lokasi sebenar yang digunakan dalam penceritaan komik tersebut.



Saya menonton satu filem anime di Netflix tetapi tidak begitu pasti atau mengingati tajuknya sama ada From Up On Poppy Hills atau The Wind Rises.

Seingat saya, filem anime terbitan Studio Ghibli itu mengetengahkan suasana Jepun sekitar era 50 atau 60-an. Mata saya tertangkap pada satu kenderaan dengan lencana Toyopet di but belakang.

Awalnya saya beranggapan Toyopet sekadar nama pilihan pelukis komik dalam plot tersebut. Penggunaan “Toyo” dan “Pet” agak lucu tetapi sebenarnya jenama itu wujud dalam industri automotif.

GAGAL DI PASARAN AS

Toyopet merupakan jenama di bawah Toyota yang mana produk pertamanya dikeluarkan sekitar 1950-an. Jika anda baru tahu tentang kewujudan jenama ini, kita sama!. 

Bagaimanapun Toyopet masih wujud sehingga kini tetapi dijenamakan sebagi wakil jualan Toyota di Jepun. 

Berdasarkan bentuk kereta dalam anime itu, saya pasti ia adalah Toyopet Crown yang dikeluarkan sekitar 1955. Kereta penumpang skala penuh itu juga merupakan model pertama yang menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS).

Pada tahun 1957, Toyota menghantar delegasi ke AS untuk meninjau peluang jualan dengan membawa beberapa model Toyopet Crown untuk dipamerkan. 

Di Jepun kenderaan tersebut digelar Masterline namun pasaran eksport menggunakan nama Crown. Walaupun model itu berjaya di Jepun tetapi tidak di Amerika.

Ingin tahu punca kegagalan?, teruskan membaca. Tetapi apa yang kita boleh belajar dari kegagalan itu, Toyota tidak berputus asa. 

PENGGANTI MODEL VOLUM RENDAH

Toyopet Crown merupakan pengganti model pengeluaran volum rendah Toyopet SA, SC, SD dan SF bermula 1952. Ia merupakan kenderaan penumpang berskala penuh pertama Toyota.

Lebih unik, pembangunan model itu di bawah program yang diketuai jurutera dan bukannya pereka. Ketua jurutera, Kenya Nakamura membangunkan kereta yang disesuaikan dengan keperluan semasa dan keadaan jalan raya pasaran domestik.

Eksekutif Toyota pada mulanya menentang cadangan Nakamura bagi menggunakan teknologi casis baru yang masih belum terbukti secara khusus di jalan raya Jepun.

Namun, Nakamura bertegas dan sistem suspensi termaju pada masa itu akhirnya diluluskan yang merangkumi komponen independent double wishbones dan koil spring depan yang kemudian dipadankan dengan spring daun semi oval di belakang.

Pengeluaran Toyopet Crown bermula 1 Januari 1955 dan mendapat pujian kerana memenuhi keperluan pengguna sesuai dengan keadaan jalan di Jepun. Dua tahun kemudian, ketahanan mekanikalnya dibuktikan dalam sukan permotoran.

PUNCA KEGAGALAN

Walaupun terbukti di negara asal, Crown gagal di AS. Ia berpunca dari ‘orang dalam’ syarikat tersebut. Pengurus jualan Toyota, James McGraw yang baru dilantik lantang mengeluarkan kenyataan, “Crown kurang kuasa, terlalu mahal dan ia tidak akan dijual.”

Selain itu, Crown dibangunkan berasaskan kondisi jalan raya Jepun yang tidak berkualiti dan bergelut menyesuaikan diri dengan keadaan jalan tar AS yang licin dan lancar. 

Bahkan, apabila enjin 1.5 liter itu mencecah kelajuan 100kmj (kelajuan yang jarang dicapai di Jepun), kereta bergegar sehingga pemandu tidak dapat melihat dengan jelas imej pada cermin pandang belakang. 

Selain itu, konotasi “Toyo” dan “pet” juga tidak sesuai di negara tersebut serta tida mesra pengguna ketika  memasuki restoran pandu masuk. Apabila pelayan meletakkan dulung pada stereng ia mengaktifkan hon. 

Menjelang akhir tahun 1958m, hanya 287 Toyopet Crown yang terjual. Pada 1960, Toyota berhenti mengeksport Crown ke AS sehinggalah mereka membangunkan kenderaan yang lebih sesuai untuk pasaran tersebut. 

Toyota kembali pada Jun 1965 dengan Corona baharu yang canggih. Mereka belajar untuk menyesuaikan produk dengan pasaran negara dan memberi tumpuan kepada pelanggan dan kualiti yang berterusan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here