[Video] Kanak-kanak lelaki ditemui dalam kontena, dihantar pulang…

340

Polis mengesahkan penemuan kanak-kanak lelaki warga asing di dalam kontena di kawasan Pelabuhan Barat, Klang sebagaimana tular di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima satu aduan daripada seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun berhubung perkara itu pada jam 1.53 tengah hari, Rabu lalu.

@manninmainthanmalaysia

Panjang Umut Budak Ini !! Sangkut Dalam Kontena // Lokasi Port Klang.

♬ original sound – Mannin Mainthan Malaysia – Mannin Mainthan Malaysia



Menurutnya, pengadu yang bekerja sebagai operasi perkapalan itu memaklumkan penemuan kanak-kanak berkenaan ketika menguruskan kapal masuk di Dermaga Pelabuhan Barat serta pemeriksaan sebuah kontena kosong.

“Menurut pengadu, kira-kira 9 malam pada 17 Januari (Selasa), dia mendapati seorang kanak-kanak lelaki warga asing berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya di dalam kontena berkenaan.

“Semakan ke atas mangsa mendapati tiada sebarang identiti pengenalan diri. Laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Hoong Fong berkata, siasatan lanjut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mendapati sebuah kapal MV Integra bertolak dari Chittagong, Bangladesh, pada 12 Januari lalu.

“Kapal terbabit yang membawa kontena-kontena mengandungi muatan barangan am itu tiba di Pelabuhan Barat, pada 17 Januari.

“Mangsa dipercayai masuk secara haram ke dalam kontena ketika kapal berlabuh di Chittangong, Bangladesh.

“Mangsa yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang disahkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan mangsa, semasa bermain bersama kawan di Chittagong, Bangladesh, dia masuk ke dalam kontena dan terkunci sehingga dijumpai oleh pengadu di Pelabuhan Barat.

“Siasatan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here