Kanak-kanak keluar kepala dari bumbung suria, polis cari pemandu Proton X70

421

Polis sedang mengesan pemandu Proton X70 yang membenarkan kanak-kanak mengeluarkan kepalanya melalui bumbung suria seperti rakaman tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi sembilan saat berkenaan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter, @nabilahroslan.

“Dalam rakaman video itu memaparkan sebuah SUV (kenderaan uliti sukan) Proton X70 berwarna merah bersikap cuai terhadap keselamatan kanak-kanak dengan membenarkannya mengeluarkan kepala melalui sunroof kenderaan berkenaan.



“Berdasarkan rakaman, kejadian itu berlaku di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari Subang Jaya menghala ke Bukit Lanjan,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 336 iaitu atas perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya sekali.

“Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak melakukan tindakan membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain,” katanya.

Beliau turut menyeru pemilik atau pemandu berkenaan dan saksi yang melihat kejadian supaya tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mejar Mohd Yusof Hamzah di talian 011-23065984 bagi membantu siasatan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here