Sorok 12,000 liter diesel dalam ladang kelapa sawit

519

Penemuan dua tangki skid yang mengandungi 12,000 liter minyak diesel di sebuah stor di kawasan ladang kelapa sawit di Bedong, Sungai Petani semalam membongkar kegiatan penyelewengan minyak di kawasan itu.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah pada jam 1.30 petang semalam.



Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, operasi Ops Tiris itu dilakukan bertujuan membanteras kegiatan penyelewengan minyak diesel di negeri ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap premis yang tidak berpenghuni itu kemudian menemui dua tangki skid yang berisi minyak diesel serta beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk penyelewengan.

“Pasukan penguat kuasa kemudian bertindak menyita barangan terbabit untuk siasatan lanjut.
 

“Anggaran minyak diesel yang disita adalah sebanyak 12,000 liter dengan dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan sebanyak RM36,000,” katanya.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta ini boleh dikenakan penalti iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk bukan suatu pertubuhan (perseorangan).

“Manakala bagi kesalahan yang kedua, didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Affendi berkata bagi pertubuhan perbadanan (syarikat), didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta.

Beliau berkata, KPDN turut memberi amaran keras dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan ini.

“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana lebih tinggi,” katanya.

Affendi berkata, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada Pejabat KPDN dengan menyalurkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui saluran seperti Portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdnhep.gov.my li.Call Centre 1-800-886-800 atau melalui e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my.

Katanya, selain itu maklumat boleh disalurkan juga melalui aplikasi EZ ADU KPDNHEP atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 selain aplikasi WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 serta Pejabat KPDN Kedah 04-7001745.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here