Video Pandu Uji: Honda Civic RS e:HEV, lambat betul nak habis minyak ni!

881

Pada penghujung tahun lalu, Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) membawa masuk varian baharu untuk keluarga Civic iaitu RS e:HEV.

Ia adalah sebuah kenderaan hibrid keempat bagi jenama Honda di Malaysia. Cuma Civic ini menggunakan enjin 2.0 liter e:HEV, tidak menggunakan rangkaian kuasa 1.5 liter hibrid seperti City, City Hatchback dan HR-V. Enjin baharu itu adalah yang pertama diperkenalkan dalam keluarga Honda di Malaysia! 

Baru-baru ini, penulis diberi peluang memandu uji jentera ini dari Kuala Lumpur-Melaka-Desaru, Johor. Daripada pandu uji itu, penulis boleh kongsi lima kelebihan Honda Civic RS e:HEV ini:



1. Rekaan sporty dengan kit badan RS

Seperti yang kita tahu, HMSB sejak kebelakangan ini sentiasa menawarkan varian RS bagi setiap modelnya.

Buat anda yang tertanya-tanya apakah maksud RS itu, ia bukannya “Racing Sport” tetapi bermaksud “Road Sailing”.

Tidak terkecuali juga untuk model Civic hibrid ini. Cuma untuk membezakannya, ia juga didatangkan ciri lain bagi membezakan dengan varian 1.5 liter turbo membabitkan:

  • Logo H kemasan biru dengan e:HEV
  • Kemasan krom pada perumah lampu hadapan
  • Kemasan krom pada bampar hadapan berhampir logo H
  • Kemasan krom dan hitam pada pemegang pintu
  • Bingkai krom pada bahagian pintu
  • Rim 18 inci rekaan baharu
  • Muncung ekzos tunggal (dua untuk versi turbo)

2. Ciri tambahan bahagian ruang kabin

Jika mahu dibandingkan dengan versi 1.5 liter turbo terutama varian RS. Rasanya tidak banyak perubahan dalam ruang kabin untuk Civic generasi ke-11 hibrid ini.

Bentuk dan susun atur masih lagi sama, hadir dengan kemasan jahitan merah pada beberapa bahagian tempat. Kerusinya juga sama dengan balutan kulit.

Cuma ada tiga komponen yang ditambah dan tidak sama dengan varian 1.5 liter turbo. Bagi penulis, ia sangat berbaloi seperti pad pengecas tanpa wayar, sistem penyaman udara dual-zon serta meter kelajuan TFT penuh bersaiz 10.2 inci.

Selain itu, buat kali pertama untuk model Honda ia dilengkapi dengan Key Card dan dilengkap Honda Sensing.

3. Kenderaan paling berkuasa untuk keluarga Civic generasi ke-11

Honda Civic 2.0L e:HEV ini digelar sebagai model ‘Smart Sport’ dalam barisan kenderaan segmen C itu.

Prestasinya berada ditengah-tengah dalam keluarga Civic antara model menggunakan enjin 1.5 liter turbo dan 2.0 liter turbo (Honda Civic Type R (FL5)).

Atas kertas, semua nombor dari segi prestasi enjin berhubung Civic RS e:HEV ini lebih tinggi berbanding versi 1.5 turbo.

Ini kerana ia menggunakan rangkaian kuasa baharu dengan sistem hibrid-penuh e:HEV berkapasiti 2.0 liter yang dibantu dengan dua motor elektrik. 

Ia menyalurkan output 184PS dengan tork setingga 315Nm yang mana kuasa itu disalurkan E-CVT. Berbanding versi 1.5 liter turbo, outputnya hanya 182PS dengan 240 Nm.

Angka-angka itu membuatkan Civic RS e:HEV mampu memberi kuasa pecutan awal yang lebih cepat berbanding versi 1.5 liter turbo. 

Ini bermakna, 0-100km/j hanya mengambil masa 7.9 saat, manakala 8.5 saat untuk Civic RS 1.5L turbo. Cuma kelajuan maksimumnya dihadkan kepada 180km/j, berbanding 200km/j bagi 1.5 liter turbo.

Namun bagi penulis, kuasa pecutan awal itu memberi manfaat yang sangat berguna terutama apabila memandu di jalan raya biasa. Ia memudahkan pemandu, selain tidak teragak-agak sekiranya mahu memotong kenderaan lain.

 

4. Pengendalian lebih mantap

Sekiranya memandu di lebuh raya, mungkin jentera ini tidak menyerlah berbanding varian 1.5L turbo. Maklumlah, kelajuan maksimumnya hanya 180km/j.

Namun bagi penulis, kelajuan itu adalah bonus sekiranya kita mengejar masa untuk tiba ke destinasi dengan cepat.  Kena jalan sesak, kelajuan maksimum mungkin tidak berguna langsung. Kereta yang pandu dengan santai pun tiba ke destinasi sama, paling lambat pun hanya lewat 1 jam sahaja!

Jika di laluan berselekoh, rasanya Civic RS e:HEV ini boleh dikatakan ‘Champion’ untuk laluan berkenaan.

Ini kerana pengendaliannya lebih baik berbanding versi 1.5L turbo. Ia disebabkan pusat gravitinya lebih rendah 10mm, selain sistem suspensi dibuat balik semula.

Ketika mengambil selekoh, ternyata jentera ini memberi tindak balas yang lebih baik dan stabil. Cengkaman juga lebih bagus, lebih-lebih lagi menggunakan tayar Michelin Pilot Sport 4. 

5. Jimat minyak

Atas kertas, HMSB mengatakan jentera ini mencatatkan purata tahap penggunaan bahan api dengan mencecah 25km/L.

Namun, angka itu sebenarnya boleh lebih tinggi lagi. Ini terbukti, penulis yang memandu secara santai dengan kelajuan 80-90km/j antara Kuala Lumpur ke Bandar Melaka, Melaka boleh mencatatkan sehingga 30km/L.

Dari Bandar Melaka ke Desaru, tahap penggunaan bahan api menurun sehingga 22km/L kerana memandu lebih laju dengan kelajuan 130-160km/j di lebuh raya, selain sentiasa memotong kenderaan lain di jalan biasa dengan kerap menekan pedal minyak secara maksimum.

Kesimpulan penulis

Civic RS e:HEV ini dijual bermula RM166,500 dan ia lebih mahal kira-kira RM16,000 berbanding RS turbo.

Jika dinilai balik, sebenarnya ia tidak terlalu mahal sekiranya dinilai balik dengan tawaran enjinnya tersangat padu yang juga jimat minyak.

Lagi satu, ciri-ciri tambahan yang ada pada bahagian dalam itu juga boleh diambil kira sebagai pakej yang berbaloi untuk memilikinya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here