Warga emas maut terlibat nahas tiga kenderaan

410

Seorang warga emas maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Kota Tinggi-Mawai, pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kota Tinggi, Mohd Rafi Mohd Nor, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Sadiran Kario, 72, yang menetap di Felda Simpang Waha.



Mohd Rafi berkata, mangsa memandu kereta Perodua Myvi bersama isterinya, Sarinam Jalil, 71 yang cedera dalam kemalangan membabitkan kereta jenis Toyota Vios dan lori pasir.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor menerima panggilan kecemasan kemalangan pada jam 11.06 pagi.

“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan dengan pasangan suami isteri menaiki Perodua Myvi tersepit dalam kenderaan.

“Mangsa wanita yang cedera dapat dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi kejadian.

“Pihak bomba mengeluarkan pemandu yang tersepit dan selepas pemeriksaan oleh pembantu pegawai perubatan, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Mohd Rafi berkata, pemandu Toyota Vios iaitu lelaki berusia 39 tahun turut mengalami kecederaan manakala pemandu lori berusia 59 tahun selamat.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here