Nissan Leaf (2023) kini di Malaysia, harga mula RM168k

534

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) Nissan LEAF baharu (2023). Model itu pertama kali dikeluarkan pada 2010 dan kini salah satu EV terlaris dunia dengan jualan melebihi 600,000 unit.

Nissan LEAF yang diperkenalkan merupakan versi naik taraf daripada generasi kedua yang dilancarkan pada 2019.



Para pelanggan boleh mendapatkan Nissan LEAF pada harga RM168,888 (pengecualian cukai jualan dan pengecualian cukai jalan, tidak termasuk insurans).

Demi ketenangan minda pemilik, EV itu didatangkan dengan jaminan kenderaan selama 3
tahun atau 100,000km serta jaminan bateri lithium-ion selama 8 tahun atau 160,000km serta selang servis berjadual 20,000km.

Nissan LEAF hanya memerlukan kira-kira RM300 setahun bagi penyelenggaraan. Selain itu, ETCM turut menawarkan Program Langganan LEAF tanpa bayaran pendahuluan.

Pelanggan hanya membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,800 untuk kontrak selama 3 tahun (tertakluk pada terma dan syarat).

ZERO EMISI

Nissan LEAF dijana oleh rangkaian kuasa elektrik dengan motor yang menghasilkan kuasa  110kW (150PS) dan tork 320Nm.

Pecutan dari 0-100kmj dicapai dalam tempoh 7.9 saat dan di atas kertas ia memberikan jarak pemanduan sejauh 311km bagi setiap pengecasan penuh.

Untuk mengecas semula bateri litium-ion 40kWh, tiga pilihan disediakan iaitu:

  • Port pengecas yang boleh menerima dua jenis penyambung CHAdeMo untuk pengecasan DC pantas dengan kadar cas maksimum 50kW. Pengecasan DC dari 0% hingga 100% caj penuh kira-kira 1 jam.
  • Type 2 (sebelum ini Type 1) untuk pengecasan AC dengan kadar cas maksimum 6.6kW. Bagi pengecasan AC dari kotak dinding, masa mengecas penuh memerlukan 7 jam.
  • Ketika kecemasan, terdapat juga kabel Type 2 mudah alih yang boleh dipasang pada soket elektrik 3-pin.

TEKNOLOGI e-Pedal

Teknologi e-Pedal membolehkan pemandu memulakan perjalanan, memecut, memperlahan dan memberhentikan kereta dengan satu pedal. Pemandu hanya perlu menambah atau mengurangkan tekanan ke atas pedal pecutan.

Reka bentuk Nissan LEAF dipertingkatkan dengan gril depan Aero Hitam penuh dengan logo Nissan baharu.  

REKA BENTUK BAHARU

Lampu utama bersepadu dengan lampu nyala siang (DRL) LED Day Time Running Light, kini menampilkan kemasan dalaman hitam. Bahagian bampar juga direka bentuk semula.

Sementara, spoiler Aero direka baru meningkatkan aerodinamik dan panel diffuser di bawah bampar mendapat kemasan warna kelabu bersama rim aloi 17-inci. 

Dalam ruang kabin, perubahan yang dilakukan termasuk lencana baharu pada
stereng, panel paparan tengah 8 inci fungsi sentuh yang lebih besar dengan ketersambungan Apply CarPlay dan Android Auto.

KESELAMATAN

Nissan LEAF ditawarkan dengan Nissan Intelligent Mobility (NIM) yang merangkumi tiga aspek utama – Intelligent Driving (Pemanduan Pintar), Intelligent Power (Kuasa Pintar) dan Intelligent Integration (Integrasi Pintar).

Ia juga dipertingkatkan ciri keselamatan baharu, iaitu Intelligent Lane Intervention,
Intelligent Lane Departure Warning, bantuan lampu tinggi, dan Intelligent Rear View Mirror.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here