Berang dikenakan caj harian emisi, penduduk sabotaj kamera trafik

412

Berang dengan pelaksanaan kamera ULEZ, pengguna jalan raya menutup peranti tersebut menggunakan kotak dan beg beli-belah.

Kamera Skim Zon Pelepasan Ultra Rendah (ULEZ) dianggarkan mengumpul kira-kira £250 juta sejak dilaksanakan pada 2019 dan penambahan sistem berkenaan dibantah oleh penduduk. 



Warga London yang marah meletakkan kotak kadbod dan beg membeli-belah di atas kamera ULEZ berkenaan.

Kira-kira 700,000 pemandu boleh dikenakan bayaran harian £12.50 (RM67.70) apabila ULEZ diperluas pada musim panas ini.

Langkah kontroversi itu pada dasarnya akan meliputi keseluruhan London dan akan diperkenalkan pada 29 Ogos ini.

Datuk Bandar London, Sadiq Khan dikritik kerana meneruskan idea yang menjana  pendapatan tambahan dengan anggaran £93.6 juta (RM507 juta) dalam lapan bulan pertama levi itu beroperasi.

Sadiq berkata udara beracun membawa kepada kematian pramatang 4,000 warga London setiap tahun kerana itu ia wajar diperluaskan.

Namun, ia sebaliknya dikatakan bertujuan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan selain bakal diperluaskan ke kawasan-kawasan lain.

Berang dengan tindakan tersebut, sekumpulan penduduk melakukan protes dengan meletakkan pelbagai barangan pada kamera Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik itu.

Pada beberapa kotak di seluruh bandar, perkataan ‘berhenti memilih orang bodoh’ telah dicoretkan.

Imej yang tersebar secara meluas di media sosial itu digelar sebagai serangan balas dendam.

Pengangkutan untuk London (TfL) baru-baru ini berkata sembilan daripada 10 kereta yang memandu di luar London memenuhi piawaian ULEZ, jadi tidak akan dicaj. 

Kebanyakan kereta diesel yang didaftarkan sebelum September 2015 dan kereta petrol yang didaftarkan sebelum Januari 2006 perlu membayar. 

Sehingga November 2022, TfL menganggarkan bahawa bilangan kenderaan yang mematuhi di seluruh Greater London berjumlah 90.5 peratus.

Walau bagaimanapun, luar London pada masa ini mempunyai bahagian terendah kenderaan yang mematuhi ULEZ, dengan hanya 85 peratus dianggarkan memenuhi piawaian pada Januari 2023.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here