JLand Group (JLG) dan Gentari Meterai MoU: Terokai potensi pembinaan sebuah hab pengecasan (EV) di Ibrahim Technopolis (IBTEC)

380

Dalam usaha untuk menyepadukan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan mobiliti hijau, JLand Group Sdn Bhd (JLG) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat penyedia penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd (Gentari). 

Pakatan strategik itu untuk membangunkan ekosistem mesra alam meliputi semua projek kediaman, komersial dan perindustrian JLG.  

Berasaskan MoU yang ditandatangani, JLG dan Gentari akan melaksanakan kajian terhadap penyepaduan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui Gentari bagi aset dan taman perindustrian strategik di bawah JLG. Pelaksanaan ekosistem mobiliti hijau pula dalam projek yang dipilih JLG akan bermula suku ketiga 2023.



Melaksanakan inisiatif penyahkarbonan

Pengarah Bahagian Hartanah & Infrastruktur, JCorp  dan Timbalan Pengerusi JLG, Datuk Sr Akmal Ahmad berkata, kerjasama dengan Gentari menandakan satu mercu jaya penting dalam usaha melaksanakan inisiatif penyahkarbonan dan meningkatkan keupayaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. 

“Menerusi usaha sama dengan Gentari, kami kini bersedia memenuhi komitmen kami ke arah pertumbuhan lestari.” 

“Penggunaan meluas ekosistem mobiliti hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang meliputi pembangunan utama kami seperti Menara JLand, Komtar JBCC, B5 Johor Street Market (Pasar Batu 5), Ibrahim International Business District (IIBD) dan Bandar Dato’ Onn (BDO), memperlihatkan keupayaan dan potensi kerjasama ini untuk menjana nilai, dengan mengambil kira bilangan pengguna akhir yang wujud di seluruh entiti operasi kami,” katanya.

Potensi pembinaan sebuah hab pengecasan (EV)

Sebagai sebahagian daripada pakatan, JLG dan Gentari juga akan meneroka potensi pembinaan sebuah hab pengecasan (EV) di Ibrahim Technopolis (IBTEC) dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui bagi taman-taman perindustrian JLG. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Sushil Purohit,  berkata, bersama JLand Group, pihaknya dapat meneroka inisiatif secara serentak di bawah tunggak teras kami, iaitu Tenaga Boleh Diperbaharui, Hidrogen dan Mobiliti Hijau di seluruh rantaian nilai elektron dalam usaha mencapai matlamat karbon bersih sifar.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Gentari akan menyediakan kemudahan Kenderaan sebagai Perkhidmatan (VaaS) dalam bentuk perkhidmatan langganan pengangkutan hijau di pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian JLG, demi menggalakkan penggunaan EV.

Dengan memperkenalkan khidmat langganan kenderaan EV menerusi Gentari, JLG bertekad menggiatkan peralihan kepada EV menerusi pelaburan kos rendah. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here