Acah samseng jalanan, tunjuk kad kuasa polis bantuan

3233

Identiti lelaki berlagak ala samseng jalanan sambil menunjukkan kad kuasa dalam satu video tular disahkan sebagai anggota polis bantuan sebuah bank.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi 1 minit 20 saat yang dimuatnaik di Facebook Reels yang memaparkan perselisihan faham antara dua pemandu kereta di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), Kuala Lumpur.

“Hasil semakan, pada 30 April, satu laporan polis diterima oleh anggota Balai Polis Setiawangsa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.



“Menurut mangsa, kejadian berlaku melibatkan sebuah Honda City yang dipandu secara berbahaya dan cuba mengganggu perjalanannya,” katanya.

Menurutnya, suspek tampil ke Balai Polis Pandan Indah, IPD Ampang Jaya bagi membuat laporan berhubung video tular berkenaan.

Katanya, suspek mendakwa mangsa mengganggu laluannya tanpa memberi isyarat sebelum mengubah arah.

“Oleh sebab itu, suspek bertindak menunjukkan kad kuasa polis bertujuan supaya mangsa berhenti.

“Semakan mendapati suspek adalah seorang anggota polis bantuan sebuah bank,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Majistret (RKM) dan akan merujuk kepada agensi polis bantuan berkenaan bertugas untuk tindakan lanjut.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here