Model EM-O Concept saiz sebenar bakal siap akhir tahun ini atau awal tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad.
“Kereta konsep sebenar akan dibangunkan tidak lama lagi, jika tidak hujung tahun ini, mungkin awal tahun depan. Kami mahu pelanggan merasa dan duduk di dalamnya.
“Apabila kami membangunkan EM-O, memandu EV bukanlah sesuatu yang baru; ia seperti kereta biasa, kecuali sekarang kita perlu pastikan pengecas yang mencukupi dan kuasa untuk mereka menggunakan kenderaan ini tanpa sebarang kebimbangan,” jelasnya.
Menerusi spesifikasi yang dikongsi, EM-O concept menggunakan motor tunggal yang diletakkan pada gandar depan. Ia menghantar kuasa 95PS dan tork 121Nm, sama seperti output janakuasa (1NR-VE) 1.3 liter 4-silinder yang ditemui pada Myvi.
Padanan bateri litium 50 kWh mampu menawarkan perjalanan sejauh 300-350km. Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 10 saat dengan kelajuan maksimum 160kmj.
Menurut Perodua, cas AC sehingga 100 peratus dicapai dalam tempoh 7.5 jam manakala DC pula mengambil masa 20 minit bagi pengecasan sehingga 80 peratus.
Daripada segi saiz pula, EM-O memiliki panjang 3,895 mm, lebar (1,735 mm), tinggi (1,515 mm) dan jarak roda (2,500mm).
Difahamkan, platform EM-O baharu sepenuhnya dan tidak akan menggunakan platform DNGA yang ditawarkan pada model Perodua sedia ada. Dikatakan model elektrik itu dibangunkan sepenuhnya oleh Perodua tanpa kerjasama dengan Daihatsu.
Selain itu, reka bentuk EM-O juga merujuk kepada bahasa reka bentuk Myvi akan datang. Zainal Abidin mengatakan bahawa reka bentuk itu adalah tempatan sepenuhnya dan kabin yang sporty.