Kanak-kanak 6 tahun pandu Toyota Vios pergi kedai terbabit kemalangan

1447

Disangka pemandu mabuk, tetapi lebih mengejutkan apabila Toyota Vios yang kelihatan dipandu tidak stabil sebenarnya dikendalikan oleh seorang kanak-kanak berumur 6 tahun.

Perkara itu tular di media sosial apabila seorang kanak-kanak berusia 6 tahun terbabit kemalangan kerana dipercayai kereta yang dipandunya terbabas. Difahamkan, kejadian itu berlaku di Langkawi pada malam tadi. 

Bagaimanapun kanak-kanak itu dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan kerana kereta yang dipandunya perlahan. 



Berdasarkan satu daripada video yang tular itu, kanak-kanak mendakwa dia pandu kereta bapanya untuk pergi ke kedai sahaja sebelum hilang kawalan dan terbabas. 

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu pada awalnya menjangkakan pemandu sedang mabuk kerana cara pemanduannya tidak stabil. 

Apabila diperiksa, orang ramai terkejut melihat seorang kanak-kanak yang berusia 6 tahun pandu kereta jenis Toyota Vios dan segera menghubungi pihak polis.

Berdasarkan laporan Harian Metro, Kanak-kanak terbabit dikatakan memandu sejauh 2.5 kilometer (km) dari rumahnya bersama adiknya yang berusia tiga tahun untuk ke kedai bagi membeli mainan.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari mengesahkan kejadian dalam video tular itu berlaku di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, berhampiran Kampung Titi Chanwang, jam 11.15 malam.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, kereta terbabit dilaporkan dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, manakala adiknya juga kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun menjadi penumpang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Kampung Ulu Melaka menghala ke Kampung Nyiur Chabang, terbabas dan melanggar tiang lampu berhampiran Kampung Titi Chanwang.

“Susulan itu, pemandu kereta luka di dahi, manakala penumpang tidak cedera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, kereta terbabit dipercayai dipandu kanak-kanak terbabit dari kediaman mereka di Kampung Padang Mengkuang, Mukim Ulu Melaka, sejauh 2.5 km tanpa pengetahuan ibu bapa.

“Kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya

 

1 KOMEN

  1. Kenapa dan mengapa boleh berlaku kejadian itu. Adakah pihak berkuasa lalu lintas saperti PDRM, JPJ tidak menjalankan kerja mereka. Atau makan gaji buta dan sentiasa menganggapkan kesalahan hanya berlaku waktu siang sahaja..kemana menghilang mereka????

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here