WTCA labur RM60 juta projek CKD jenama GAC di Malaysia, model pertama GAC GS3 versi 1.5L turbo

957

WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) memperuntukkan RM60 juta pelaburan untuk projek pemasangan tempatan (CKD) menerusi kerjasama dengan Guangzhou Automobile Group (GAC).

WTCA yang juga anak syarikat Warisan TC Holding Sdn Bhd turut bertanggungjawab melakukan pemasangan model serba baharu GAC GS3 serta mengembangkan kehadiran jenama itu di seluruh negara. 



Projek CKD itu diumumkan 18 bulan selepas WTCA dan GAC International menandatangani perjanjian pengedaran di mana WTCA dilantik sebagai pengedar eksklusif kenderaan berjenama GAC di Malaysia. 

Sebahagian besar daripada pelaburan bernilai RM60 juta itu akan digunakan untuk menaik taraf fasiliti Tan Chong di Segambut bagi memenuhi keperluan standard yang ditetapkan oleh GAC. 

Dalam tempoh tiga sehingga 5 tahun, produksi dan jualan disasarkan mencecah sehingga 50,000 unit. 

Dalam tempoh lima tahun akan datang, WTCA akan memperkenalkan barisan model-model versi pemanduan sebelah kanan GAC Motor termasuklah SUV, sedan dan MPV. 

Dalam mencapai sasaran itu, GAC akan memberi sokongan  sumber luaran dan dalaman, sekali gus meningkatkan pasaran di Malaysia.

Selain itu, WTCA bakal menggunakan pelaburan itu untuk mendirikan lebih 70 buah pusat pameran. Pusat pameran GAC Motor Malaysia yang pertama di Seksyen 13, Petaling Jaya yang dijangka siap menjelang suku ketiga tahun ini. 

Model CKD yang akan dipasang di kilang Segambut membabitkan generasi baharu GAC GS3. Ia dijana enjin 1.5 liter turbo Direct Injection yang mampu menghasilkan 174 hp dan daya kilas 270 Nm, dipadankan transmisi WDCT tujuh kelajuan. 

Model generasi baharu itu juga didatangkan dengan sistem bantuan pemandu termaju Tahap 2 (SAE Level 2). 

Projek CKD ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang antara GAC Motor dan Kumpulan Tan Chong untuk rantau ASEAN. 

Dalam acara yang sama, WTCA telah mengadakan upacara penyerahan armada 25 unit pertama GAC GS3 SUV kepada syarikat Mayflower Car Rental Sdn Bhd daripada 50 unit yang dijanjikan. 

Mayflower dalam masa yang sama turut memperkenalkan program pajakan kenderaan All-New Adventure GAC Motor GS3 bagi memenuhi keperluan pasaran yang pelbagai. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here