Pemilik Bugatti diberi peluang lenjan Chiron hingga 400kmj

801

Bugatti terkenal kerana membangunkan hypercar yang boleh menembusi 400kmj seperti sebuah peluru.

Dahulu, pemilik kenderaan terpantas akan mencuba kenderaan mereka misalnya di Autobahn atau trek dengan jalan yang lurus. Hari ini, kereta seperti Bugatti Chiron yang pantas cukup sukar mencari lokasi ideal bagi menguji hypercar itu.



Maka, syarikat Perancis itu menganjurkan Bugatti 400 Drive bagi memberi peluang kepada 18 pelanggan terpilih untuk mencapai kelajuan maksimum hypercar tersebut.

Acara itu berlangsung pada bulan April lalu di Pusat Angkasa Kennedy dengan usaha sama ujian aerodinamik garis lurus Bugatti sendiri.

Di sana, Kemudahan Pelancaran dan Pendaratan Angkasa Florida menawarkan landasan sejauh 4.8km untuk pemilik melenjan Bugatti.

Landasan yang lebih panjang itu dahulunya berfungsi sebagai Kemudahan Pendaratan ulang-alik sebelum NASA menamatkan perkhidmatan Ulang-alik Angkasa Lepas pada 2011.

Pemilik menerima arahan daripada pegawai Bugatti tentang cara mengendalikan pemanduan pada kelajuan 400kmj. 

Pada kelajuan itu, kereta tersebut meliputi 1.25 padang bola setiap saat, manakala pecutan penuh Chiron menyaksikan pemandu mengalami lebih 1G.

Cabaran lain tentunya mengesan penanda brek pada kelajuan yang begitu pantas, dan belajar mengawal kereta dengan teliti semasa ia melintasi jalan tar pada Mach 0.32.

Chiron sebenarnya didatangkan dengan Top Speed Key yang membolehkannya mencapai had laju maksimum.

Ia menyelaraskan kereta pada konfigurasi seretan terendah, dengan ketinggian kenderaan diturunkan dan spoiler belakang dilipat. Downforce gandar depan juga diturunkan melalui kelepak boleh laras di depan roda.

Menggerakkan kenderaan itu semudah meletakkan kaki kiri pada brek, dengan kaki kanan menekan pedal minyak. Sebaik brek dilepaskan, Launch Control Chiron akan terus mendorongnya laju ke depan.

Ia mengambil masa hanya 11 saat untuk Chiron Super Sport mendapatkan kelajuan 300kmj, tetapi pecutan ke kelajuan tertinggi mengambil masa lebih lama.

Selepas melepasi halangan 400 kmj, setiap pemandu diberikan sut perlumbaan peribadi sebagai kenangan, bersama topi keledar yang tertera dengan kelajuan tertinggi yang dicapai di landasan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here