Lelaki sebabkan kematian penunggang Ducati diperintah jalani ujian psikiatri

531

Mahkamah Majistret Ampang mengarahkan lelaki yang menyebabkan kematian penunggang Ducati, di Lebuh Raya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.

Majistret Amalina Basirah Md. Top memerintahkan demikian terhadap Mudzyadaha Mohammad, 42, selepas tertuduh mengaku tidak bersalah selain membenarkan permohonan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)
Izleen Ismail mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.



Mengikut pertuduhan, Mudzyadaha didakwa menunggang motosikal secara melawan arus yang mana setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan merbahaya kepada orang awam telah menyebabkan kematian terhadap penunggang motosikal Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64,.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di KM22.2 Lebuh Raya SUKE pada jam 1.10 tengahari pada 14 Jun lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukkan akta sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.

Terdahulu, semasa prosiding peguam itu memaklumkan tertuduh merupakan seorang pesakit mental yang juga orang kelainan upaya (OKU) dan mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Semasa kejadian, tertuduh tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya pelanggaran secara berlawanan arus jadi saya pohon pada mahkamah membenarkan untuk tertuduh menjalani ujian psikiatri dibawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” kata peguam itu.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran tidak membantah dengan permohonan peguam tersebut.

“Disebabkan tertuduh mengaku tidak bersalah, dan permohonan peguam untuk tertuduh menjalani ujian pskiatri, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” kata Annur.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Amalina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan pada masa sama tertuduh menjalani ujian psikiatri.

“Syarat lain, tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan lesen memandu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” kata Majistret Amalina.

Pada 14 Jun lalu, penunggang Ducati Panigale meninggal dunia selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat Lebuh Raya SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal yang melawan arus.

Susulan kejadian itu menyebabkan mangsa melanggar penghadang sebelah kiri jalan lalu terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian lebih kurang 30 meter.

Motosikal yang ditunggang mangsa juga terseret ke tengah jalan dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (SMART) Sungai Klang.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here