Temui ajal di Litar Mandalika

1843

Pelumba Jepun, Haruki Noguchi disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam  kemalangan pada Perlumbaan 2, Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARCC), Ahad lalu di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia.

FIM Asia dalam satu kenyataan berkata, Haruki meninggal dunia selepas tiga hari dirawat secara intensif di Hospital Awam Nusa Tenggara Barat.

“Dengan penuh kesedihan kami melaporkan kematian Haruki Noguchi selepas tiga hari menerima rawatan intensif di Hospital Awam Nusa Tenggara Barat.



“Semasa Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia FIM 2023 yang diadakan di Litar Antarabangsa Mandalika, Haruki cedera parah berikutan insiden di selekoh 10, Pusingan 4 kategori Asia Superbike 1000cc.

“Penunggang berusia 22 tahun itu segera menerima rawatan di Pusat Perubatan litar sebelum dipindahkan ke hospital. Di sebalik usaha sehabis baik dilakukan kakitangan perubatan, Haruki meninggal dunia akibat kecederaannya pada 16 Ogos 2023 jam 5.40 petang.

“Presiden FIM Asia dan Lembaga Pengarah, keluarga Two Wheels Motor Racing dan FIM Asia Road Racing mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan orang tersayang Haruki Noguchi,” kata kenyataan itu.

Pada Perlumbaan 1 yang berlangsung Sabtu lalu, Haruki yang beraksi bersama pasukan SDG MS Harc-Pro.Honda.Ph, menamatkan perlumbaan di tempat keempat manakala Perlumbaan 2 terpaksa dihentikan berikutan insiden kemalangan membabitkan dirinya.

Haruki disebut-sebut sebagai pelumba berbakat besar dan ketika ini menduduki tempat kedua kategori ASB1000cc dengan mengumpul keseluruhan 113 mata di belakang pelumba Jerman, Markus Reiterberger yang mengumpul 155.5 mata.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here