Dua kenderaan rosak langgar dapur gas di LPT1

728

Gara-gara dapur gas yang berada di tengah jalan menyebabkan dua kenderaan terlibat dalam kemalangan selepas melanggar objek berkenaan di KM116.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) di sini malam tadi.

Kejadian menyaksikan sebuah Toyota Vios mengalami kerosakan pecah bahagian bampar bonet, lampu depan, cermin dan beg udara manakala sebuah lagi Honda Civic pecah bahagian bampar dan lampu depan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian kira-kira pukul 11 malam itu berlaku ketika kedua-dua buah kenderaan dipandu lelaki berusia 30 dan 38 tahun itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke arah Kuantan.



“Apabila sampai di lokasi kejadian terdapat satu objek dipercayai dapur gas berada di lorong kanan jalan dan pemandu kereta jenis Toyota Vios cuba mengelak tetapi terlanggar objek tersebut.

“Kemudian pemandu kereta jenis Honda Civic pula terlanggar pula objek tersebut dan membawa objek tersebut ke lorong kecemasan,” katanya.

Menurut Mazlan, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan pihak polis telah mengambil keterangan daripada pemandu kereta terbabit.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak peronda lebuh raya dan pihak konsesi LPT1, Anih Berhad telah melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa memandu terutama waktu malam dan memandu ikut peraturan had laju yang telah ditetapkan.

“Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar memastikan barang-barang yang dibawa tidak terjatuh ke jalan raya kerana kecuaian kita boleh membahayakan nyawa dan kerugian harta benda kepada pengunaan jalan raya lain,” jelasnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here