[SIRI 1] Operasi pengeluar bakal terkesan caj ST 8 peratus, harga kereta naik tahun depan?

2228
Dalam Bajet 2024, Kerajaan Malaysia menaikkan cukai perkhidmatan (ST) kepada 8-peratus ketimbang enam peratus.
 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata agar tidak membebankan rakyat, peningkatan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

 
“Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik yang kekal 6 peratus selain pembrokeran, penaja jaminan dan kelab karaoke,” katanya. 

SEMBILAN KUMPULAN YANG AKAN DIKENAKAN CUKAI PERKHIDMATAN 

Cukai perkhidmatan mula diperkenalkan pada 1 Mac 1975 mengikut peruntukkan Akta Cukai Perkhidmatan 1975. Terdapat sembilan kumpulan perkhidmatan yang kena dibayar cukai. 
 
Perkhidmatan bercukai yang melibatkan automotif tergolong di bawah kumpulan G meliputi pekerjaan pusat-pusat servis dan membaiki kenderaan bermotor, ruang letak kereta serta ejen penghantaran.
 
Di bawah kumpulan tersebut, perkhidmatan bercukai lain yang terlibat adalah pengiklanan, telekomunikasi, insurans, kereta sewa dan firma-firma khidmat perunding, perkhidmatan pengurusan serta lain-lain. 

KESAN PENGUATKUASAAN CAJ ST 8 PERATUS



Bagaimana pula impaknya pada pasaran automotif tempatan apabila caj ST baharu berkuatkuasa?.
 
Pertama, perkhidmatan berkaitan seperti penyelenggaraan yang melibatkan caj buruh akan meningkat. 
 

Kedua, pengeluar automotif mungkin akan terkesan kerana peningkatan kos operasi. Ini akan memaksa syarikat kereta sama ada menaikkan harga kenderaan, menyerap kos kenaikan atau mengurangkan keuntungan.

Menurut Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff merujuk pada pembentangan bajet sebelum ini masih belum ada perincian perkhidmatan barangan yang akan dikenakan.

“Perdana Menteri cuma maklumkan bahagian makanan dan minuman dikecualikan daripada kenaikan. 

“Komponen kereta ada kemungkinan berlaku kenaikan kadar cukai. Kita akan melihat sama ada pengeluar kenderaan akan serap kenaikan kos untuk tidak naik harga kepada pelanggan atau akan dicaj pada pengguna.

“Terlalu awal untuk melihat sama ada harga akan naik,” katanya. 

DIESEL BERSASAR BERI KESAN PADA PENGGUNA KOMERSIAL

Mengulas lanjut pemberian subsidi diesel bersasar yang berkemungkinan akan memberi kesan pada pengangkutan automotif, Ahmed Razman menjelaskan perkara itu memberi kesan kepada pengguna komersial.

“Kita lihat semula rasionalisasi subsidi itu bagi memastikan tidak berlaku ketirisan. 

“Kemungkinan ada kaedah minimum yang menjadi penanda aras golongan yang akan menikmati subsidi diesel tersebut seperti mana pelaksanaan subsidi bersasar penggunaan elektrik.

“Sekiranya pengguna komersial dikenakan harga pasaran, adakah mekanisma itu berlaku?,  akan menyebabkan harga barang dan perkhidmatan naik,” katanya kepada Motoqar. 

SALAH SATU KOS RANTAIAN BEKALAN MENINGKAT, HARGA KERETA MUNGKIN NAIK

Manakala sumber industri automotif yang enggan dikenali, menjelaskan impak pelaksanaan ST itu kebarangkalian akan menyumbang kepada kenaikan harga kereta tahun depan. 

Perkhidmatan logistik adalah bahagian penting dalam industri automotif yang melibatkan pengangkutan kenderaan, alat ganti dan komponen.

“Walaupun ST logistik kekal, perlu diingatkan kos perkhidmatan yang meningkat memberi kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan.

Kenaikan cukai dari 6 kepada 8 peratus ini berpotensi memberi kesan meluas yang boleh mengakibatkan kenaikan harga di seluruh rantaian bekalan yang menyebabkan harga kereta naik. 

“Meskipun ada beberapa sektor perkhidmatan yang kekal pada 6 peratus, tetapi apabila satu bahagian bekalan mengalami kenaikan dalam rantaian, kos ini pastinya akan ditanggung pengguna,” katanya. 

KESAN KENAIKAN MELIBATKAN SERVIS KENDERAAN

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah tidak menolak kenaikan 8 peratus akan memberikan kesan langsung pada harga kenderaan.

“Cukai perkhidmatan dikenakan pada perkhidmatan yang berkaitan dengan pembuatan, penjualan dan khidmat servis kenderaan.

“Namun, masih terlalu awal untuk mengetahui kesan kepada pengeluar kenderaan,” kongsinya. 

Roslan Abdullah menyatakan kesan kenaikan kos operasi hanya melibatkan perkhidmatan seperti servis kenderaan.

“Kenaikan cukai akan dikenakan pada caj buruh tetapi tidak komponen yang digunakan,” tambahnya. 

Roslan menyatakan langkah terbaik menangani kenaikan ST adalah meningkatkan kecekapan operasi pengeluar kenderaan.

“Ini termasuk mengurangkan pembaziran dalam proses pengeluaran, meningkatkan proses pengedaran, dan mengoptimumkan rantaian bekalan.

“Dengan cara ini, mungkin dapat mengurangkan impak kenaikan cukai perkhidmatan pada keuntungan mereka tanpa menaikkan harga kenderaan secara signifikan,” jelasnya. 

SERVIS SELEPAS JUALAN & BENGKEL BAKAL TERKESAN

Kenaikan cukai perkhidmatan tersebut bakal memberi impak signifikan kepada bengkel dan perkhidmatan selepas jualan.

Menurut Penganalisis Ekonomi DagangNews, Johardy Ibrahim, kenaikan 2 peratus tidak begitu memberi impak besar pada jualan kenderaan. Tetapi dampaknya adalah pada barisan belakang yang cukup penting kepada jenama kereta iaitu servis selepas jualan. 

“Misalnya alat ganti, minyak hitam. Biasanya komponen ini akan diservis pada masa sama dan di situ akan ‘sakit poket’.

“Ini berkait operator bengkel bebas. Francais jenama seperti pusat 4S lazimnya ‘cermat’ dalam menaikkan harga kerana reputasi jenama boleh terjejas jika melampau.

“Harga alat ganti sukar dikawal kerana dikeluarkan vendor, yang mungkin di dalam negara. Vendor luar negara pula terdedah kepada tukaran mata wang asing.

“Satu-satu cara ialah meminta insentif khas kerajaan dalam konteks cukai. Tiada campur tangan kerajaan, industri automotif berdepan kerisauan pelanggan berkaitan kos,” ulasnya kepada Motoqar.

Bahkan, Jorhardy mengakui jarang sekali pengeluar akan ‘menyerap kos’ kenaikan yang dialami.

“Memang turun kepada pelanggan,” katanya. 

Perbahasan Bajet 2024 sudahpun bermula Isnin lalu yang akan berlangsung selama 12 hari. 

Menaikkan cukai perkhidmatan sebanyak 2 peratus bakal memberi kesan signifikan pada industri automotif apabila diluluskan.

Jika pengeluar tidak dapat menyerap peningkatan kos, kemungkinan mereka perlu menaikkan harga kenderaan. 

Manakala, pengguna pula perlu membayar lebih untuk perkhidmatan caj buruh ketika penyelenggaraan sekaligus meningkatkan kos selang servis. 

Sebelum kenaikan ST, adakah ini masa terbaik beli kenderaan?…bersambung ke SIRI 2…chow..

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here