[Video] Lelaki curi Proton Persona, enam murid berdepan detik cemas

271

Enam murid sekolah berdepan detik cemas apabila kereta mereka naiki dilarikan seorang lelaki di depan sebuah kedai runcit di Kampung Pinosuk, Kundasang, Ranau, petang semalam.

Kesemua kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan orang awam dan polis yang memintas kenderaan tersebut pada kejadian kira-kira jam 5 petang itu.



Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan sebuah Proton Persona dilarikan seorang lelaki di depan sebuah kedai runcit.

“Lelaki tersebut dipercayai cuba mencuri kereta tersebut dan pada masa sama terdapat enam murid dari sebuah sekolah berada di dalamnya.

“Suspek berjaya ditahan dan kejadian itu telah dirakam serta videonya tular di media sosial. Pihak polis juga turut menerima maklumat mengenai video tersebut,” katanya.

Katanya lagi, pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh salurkan maklumat kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bagi membantu siasatan,” katanya.

Sebelum itu, tular dua video masing-masing berdurasi 58 saat dan satu minit sembilan saat memaparkan kenderaan polis memintas kereta yang dilarikan manakala video kedua menunjukkan lelaki itu berjaya ditahan polis dengan bantuan orang awam.

Dalam video itu turut kedengaran tangisan kanak-kanak dipercayai dalam keadaan ketakutan akibat kejadian itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here