Polis : Tiada sekatan jalan di selekoh, laluan berbukit

559

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan membuat sekatan jalan raya di kawasan berisiko seperti laluan berbukit atau selekoh.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata sekatan di kedua-dua kawasan itu hanya akan dibuat jika berlaku kemalangan.



“Memang sekatan jalan raya tidak dibuat di kawasan berkenaan (selekoh dan bukit) kecuali jika berlaku kes kemalangan di kawasan berkenaan.

“Di kawasan bukit (atau) selekoh itu bukan sekatan jalan raya tetapi lebih kepada mengawal lalu lintas sehingga kes kemalangan itu selesai dan siasatan dibuat,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang bertanyakan prosedur operasi standard (SOP) SJR di kawasan selekoh dan berbukit mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

Hok Liong turut bertanyakan menerusi soalan tambahannya mengenai segelintir anggota polis yang menyalahgunakan kuasa mereka dengan tidak mematuhi SOP sekatan jalan.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, PDRM mempunyai SOP dan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh anggota dan pegawai ketika menjalankan tugas di sekatan jalan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya ada aduan pelanggaran SOP oleh anggota dan pegawai yang terlibat ketika operasi dijalankan, siasatan akan dibuat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Sekiranya ada sebarang aduan atau perkara yang mungkin tidak puas hati atau dilanggar oleh mana-mana pegawai, kita akan lakukan siasatan di bawah JIPS, PDRM.

“Maknanya kita tidak sewenang-wenangnya membiarkan anggota kita melaksanakan tugas yang tidak patuh SOP. Ada tatacara dan tindakan yang dibuat melalui JIPS, PDRM,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here