Tesla Cybertruck rasmi lancar, harga mula RM286k

341

Setelah sekian lama tertangguh, Tesla rasmi lancar trak pikap elektrik pertamanya yang dikenali sebagai Cybertruck, semalam.

Cybertruck merupakan model pertama baharu Tesla setelah hampir empat tahun. Ketika syarikat bergelut dengan permintaan kenderaan elektrik (EV) yang semakin lemah dan persaingan meningkat, ia kunci untuk menjana jualan.



Walaupun, Tesla tahu ia tidak dapat menandingi volum tinggi Model 3 dan Y. Kerana itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk menyatakan syarikat akan mengambil masa setahun hingga 18 bulan untuk Cybertruck menyumbang kepada aliran tunai yang ketara.

“Kami menggali kubur sendiri dengan Cybertruck,” kata beliau, bulan lalu.

Bagaimanapun, harga mula trak pikap itu lebih tinggi 50 peratus berbanding pengumuman yang digembar-gemburkan Musk pada 2019. 

Cybertruck didatangkan dengan tiga pilihan varian:

  • Rear Wheel Drive yang hanya tersedia pada 2025 : USD 60,990 (RM285,646)
  • Dual Motor All Wheel Drive tersedia 2024 : USD 79,990 (RM374,633)
  • Tri Motor Cyberbeast tersedia 2024 : USD 99,990 (RM468,303)

Jarak perbatuan:

  • Cyberbeast : 515km (+Range Extender hingga +708km)
  • All Wheel Drive : 547km (+Range Extender hingga +756km)
  • Rear Wheel Drive : 402km

Pecutan 0-100kmj:

  • Cyberbeast : 2.6 saat | kelajuan maksimum – 209kmj
  • All Wheel Drive : 3.9 saat | kelajuan maksimum – 180kmj
  • Rear Wheel Drive : 6.5 saat | kelajuan maksimum – 180kmj

BADAN TAK MUDAH KEMEK

Pada laman web rasmi, Tesla menyatakan badan Cybertruck menggunakan aloi keluli tahan karat yang direka bentuk untuk tahan lasak dan tidak ‘kemek’. 

Musk menyatakan keluli tahan karat berkilat itu dibentuk menjadi satah rata yang mana sebahagiannya diinspirasikan daripada kapal selam yang bertukar kereta dalam filem James Bond The Spy Who Loved Me (1977).

Kekuatan material tersebut dipaparkan menerusi video yang mana bahagian luar masih kukuh dan tidak kemek mahupun rosak walaupun diketuk dengan penukul, dilanggar dengan troli serta bebola salji.

Bahkan exoskeleton ultra keras itu mengurangkan kerosakan dan hakisan jangka panjang yang memerlukan baik pulih mudah dan pantas.

KAPASITI TUNDA 5,000KG

Cybertruck didatangkan dengan kapasiti tunda 5,000kg. Selain itu, pelantar belakang (maksimum muatan 1,134kg) menggunakan bahan komposit kuat dan anti calar yang tidak memerlukan pelapik. 

Pada pelantar belakang turut tersedia outlet 120V dan 240V yang memudahkan pengecasan walau di mana saja. 

Cybertruck juga memiliki tarikan seberat 18,144kg pada 318 kaki, menewaskan Rivian R1T, Ford F-150 Lightning, dan Ford F-350 Diesel.

Ciri pelarasan ketinggian memudahkan Cybertruck meredah apa jua bentuk muka bumi. Ia kemudian disempurnakan dengan jarak kelegaan tanah 17-inci.

Tawaran steer by wire memberikan kelebihan pemanduan di ruangan sempit serta pengendalian kelajuan tinggi.

PESAING PORSCHE 911

Dari segi prestasi, Tesla meletakkan Cybertruck sebaris Porsche 911 (2023) serba baharu untuk menguji keupayaan trak pikap itu.

Cybertruck menewaskan kereta sukan berkenaan dari segi kelajuan, pecutan dan kuasa. Sementara itu, kabin menjadi lebih luas menerusi tawaran bumbung kaca dan dapat memuatkan lima penumpang dengan selesa. 

Tesla menawarkan skrin sentuh tengah bersaiz 18.5-inci dan skrin belakang 9.4-inci bersama pengecas AST buat telefon pintar, komputer riba atau peralatan lain di kerusi depan, pengecas tanpa wayar buat penumpang belakang, outlet 65W USB-C dan 15-pembesar suara. 

Tesla Cybertruck didatangkan dengan waranti standard 4-tahun atau perbatuan 80,467km (mana tiba dahulu) serta 8-tahun atau perbatuan 24,1402km (mana tiba dahulu) bagi bateri dan unit pacuan. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here