Kapal kontena pengangkutan Volvo Cars guna bahan api berasaskan minyak masak terpakai, kurangkan CO2 84 peratus

133

Saban tahun, bertan-tan bahan pengeluaran bergerak menuju ke kilang Volvo Cars dengan kapal kontena yang melalui lautan dunia.

Kini, kebanyakan perjalanan merentasi lautan akan dilakukan dengan bahan api yang boleh diperbaharui dan bukan lagi bahan api fosil seperti kebiasaannya.

Sebagai pembuat kereta global pertama yang mengumumkan perubahan baharu itu, pengurangan pelepasan CO2 fosil sebanyak 55,000 tan akan dicapai oleh Volvo Cars dalam masa setahun melalui pengangkutan laut antara dunia. 



Bahan api boleh diperbaharui ini juga akan mengurangkan pelepasan CO2 sehingga 84 peratus berbanding bahan api fosil. Pengurangan ini bersamaan dengan pelepasan CO2 sebuah trak penuh muatan yang bergerak mengelilingi khatulistiwa sebanyak 1,200 kali. 

Bahan api yang digunakan ialah Asid Lemak Metil Ester (FAME) yang berasaskan sumber boleh diperbaharui dan mampan seperti minyak masak terpakai. Tiada bahan mentah yang berkaitan dengan pengeluaran minyak sawit ataupun minyak sawit telah digunakan.

Volvo Cars akan menggunakan bahan api boleh diperbaharui untuk pengangkutan kontena laut yang membawa bahan pengeluaran untuk kilang pembuatannya yang berpusat di Eropah dan Amerika, serta semua pengedaran alat ganti yang dihasilkan secara global.

Ketua Pegawai Operasi dan Timbalan CEO Volvo Cars, Javier Varela berkata inisiatif itu menunjukkan bahawa pihaknya boleh bertindak untuk melaksanakan penyelesaian untuk mencapai hasil yang ketara sementara menunggu alternatif teknologi untuk jangka masa panjang.

“Kami tidak melihat inisiatif ini sebagai kelebihan dalam persaingan.

“Sebaliknya, kami mahu pembuat kereta lain untuk mengikut serta dalam meningkatkan permintaan untuk pengangkutan laut yang jimat karbon serta meletakkan bahan api boleh diperbaharui sebagai penyelesaian jangka masa sederhana yang berkesan,” katanya.

Volvo Cars mengusahakan inisiatif itu bersama-sama dengan rakan logistik mereka Maersk, Kuehne+Nagel, dan DB Schenker. Penyedia perkhidmatan logistik itu bertukar ke bahan api boleh diperbaharui bermula 1 Jun 2023 untuk semua penghantaran kontena Volvo Cars. 

Cita-cita Volvo Cars ialah untuk mengurangkan jejak karbon kitaran hayat setiap kereta sehingga 40 peratus antara 2018 dan 2025. 

Hal itu memerlukan pengurangan sebanyak 25 peratus dalam pelepasan operasi, termasuklah logistik. 

Volvo Cars juga menyasarkan untuk mencapai pembuatan neutral iklim menjelang 2025. Kedua-dua pencapaian berkenaan adalah langkah penting dalam mencapai cita-cita neutral iklim Volvo Cars. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here