5 penghantar makanan didakwa bunuh pemandu Saga di Semenyih

361

Lima penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan di Semenyih minggu lalu.

Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43 dan Syamsul Qamar Ayob, 40 mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.



Namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 25 April untuk sebutan kes bagi serahan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Kelima tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Shahril Samad,41 di Jalan TPS2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang pada jam 9.54 malam pada 20 Februari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Hafiz.

Sementara itu, abang mangsa Shah Rizad Samad,43 berharap agar hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh selain berharap keadilan dapat diberikan. 

Pada 21 Februari lepas, media melaporkan mangsa memandu Proton Saga telah terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan berkenaan sebelum ditarik oleh sekumpulan lelaki dan dipukul selain turut diikat dan dibiarkan terbaring di atas jalan raya berhampiran keretanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here