MITI cadang ‘One-Time Subsidy’ bagi pemilikan EV

85

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengemukakan cadangan ‘One-Time Subsidy’ untuk pemilikan kenderaan elektrik (EV) bagi menggalakkan perkembangan industri itu di negara ini.

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC).



“Diperhatikan pemberian ‘One-Time Subsidy’ ini dapat menggalakkan rakyat beralih daripada menggunakan kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV dan seterusnya membantu negara mengurangkan subsidi petrol untuk jangka masa panjang.

“Cadangan ini sedang diperhalusi oleh MoF,” katanya.

Liew menjawab soalan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu sama ada galakan disediakan untuk menarik minat golongan M40 yang berkemampuan memiliki EV pada masa akan datang.

Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang diumumkan kerajaan pada 2020 menggariskan sasaran 10,000 pengecas EV menjelang 2025 iaitu 9,000 unit adalah pengecas AC (arus ulang-alik) dan 1,000 unit pengecas DC (arus terus).

Pada 2023, jumlah jualan tahunan BEV baharu dalam negara meningkat lebih 400 peratus iaitu sebanyak 13,257 unit berbanding jualan tahunan sebanyak 3,127 unit pada 2022.

Setakat 31 Disember 2023, sejumlah 2,020 unit pengecas dipasang di 750 lokasi di seluruh negara, iaitu 1,591 unit adalah jenis AC dan baki 429 unit, jenis DC.

Menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menyatukan bayaran perkhidmatan sistem pengecas EV dalam satu aplikasi, Liew berkata kerajaan memang berhasrat untuk mengadakan aplikasi dan menggabungkan semua aplikasi bagi pembayaran pengecas EV.

“Tetapi ia memerlukan kerjasama daripada pengendali pusat pengecasan (CPO) dan kerajaan dalam usaha untuk mengadakan perbincangan dengan pihak CPO bagi mewujudkan kebolehoperasian antara semua syarikat,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here