Utama Berita Automotif MAG catat untung bersih RM766 juta, kali pertama sejak 2010

MAG catat untung bersih RM766 juta, kali pertama sejak 2010

475
Malaysia Aviation Group (MAG) kembali untung dengan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM766 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 (TK2023), berbanding kerugian bersih sebanyak RM344 juta pada TK2022.
 
Kumpulan itu turut merekodkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM13.85 bilion, meningkat 31 peratus berbanding RM10.61 bilion pada TK2022.
 
Ia juga mencatatkan keuntungan operasi bersih sebanyak RM889 juta bagi tahun kewangan 2023 (TK2023), peningkatan sebanyak 64 peratus berbanding RM540 juta yang dicatatkan pada TK2022.
 
Sehingga 31 Dis, 2023, baki tunai MAG kekal kukuh pada RM4.27 bilion, yang menunjukkan kestabilan dari segi kewangan dan pandangan jauh strategiknya.
 
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Kapten Izham Ismail menyifatkan keuntungan bersih pertama kumpulan adalah satu pencapaian penting dan prestasi kukuh trafik penumpang daripada segmen premium, aliran rangkaian antarabangsa yang diperhebat, dan pengurusan kapasiti yang aktif.
 
Beliau berkata kerjasama di antara syarikat penerbangan dan bukan syarikat penerbangan, bersama dengan hasil yang lebih kukuh untuk segmen penumpang telah membantu mencatatkan prestasi yang baik.
 
“Kejayaan ini dicapai walaupun berdepan kos operasi dan buruh yang lebih tinggi, ringgit yang melemah, cabaran dalam rantaian bekalan disebabkan peningkatan kos dan komitmen penghantaran yang tidak menentu, harga bahan api dan kadar faedah yang tinggi,” tambah Izham.
 
Sementara itu, jumlah hasil bagi Malaysia Airlines Bhd (MAB) meningkat sebanyak 45 peratus tahun ke tahun, disokong oleh kapasiti yang lebih tinggi, permintaan kukuh, dan tumpuan kepada sektor antarabangsa bagi segmen perniagaan penumpang.
 
MAB mencatat keuntungan operasi yang jauh lebih tinggi sebanyak RM1.10 bilion daripada RM80 juta pada 2022, manakala kapasitinya berada pada tahap 90 peratus.

12 PESAWAT BAHARU

Pada masa depan, beliau berkata, MAG bersedia memanfaatkan momentum yang dijana pada 2023 dan meneruskan perjalanannya ke arah pertumbuhan yang mampan, memfokuskan pada memacu inovasi, meningkatkan kecekapan operasi dan menyampaikan pengalaman unggul kepada pelanggan.
 
Beliau juga menyatakan bahawa perniagaan perkhidmatan bukan penerbangan milik kumpulan itu dijangka menyumbang sehingga 30 peratus daripada jumlah senarai teratas kumpulan menjelang 2025, di tengah-tengah jangkaan hasil perjalanan udara yang rendah pada akhir 2024.
 
“Selaras dengan strategi pemodenan dan pertumbuhan armada kami, MAG berada di landasan yang betul untuk mengintegrasikan 12 pesawat baharu pada 2024. Kami optimistik mengendalikan armada yang terdiri daripada 50 pesawat berbadan sempit dan 50 pesawat berbadan lebar menjelang 2033,” katanya.
 
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan, Bryan Foong berkata, kumpulan itu memantau rapi penghantaran 10 pesawat berbadan sempit, B737-8 Max seperti yang dirancang pada tahun ini.
 


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here