Anak muda ini tunggang Modenas Kriss 110 ke Mekah

75
Ketika artikel ini ditulis peserta Jelajah Silaturahim Malaysia ke Mekah tiba di bandar Shangri-La di barat laut wilayah Yunnan, China. Kira-kira 4,000km dari Malaysia.
 
Muhammad Aidil Nursulhi, 19 yang menunggang Modenas Kriss 110 bersama rakan-rakan yang lain akan menempuh jarak perjalanan sejauh 15,000km sebelum tiba ke destinasi akhir.
 
Menurut laporan portal Melaka Hari Ini, Muhammad Aidil ingin membuktikan sesuatu dalam hidup dengan melakukan pengembaraan ke Tanah Suci di usia muda.
 

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata walaupun dianggap kerja ‘gila’ namun baginya cabaran itu mempunyai makna yang lebih mendalam.

Kembara itu merupakan medan untuk mematangkan diri, dan pada masa sama membuktikan dia mampu berdiri di atas kaki sendiri.



“Sebelum ini, kembara motosikal paling jauh pernah saya lakukan ialah ke Janda Baik, Pahang dan kali ini cabaran itu lebih besar kerana akan menempuh beberapa negara.

“Saya akui perjalanan ini akan lebih mencabar kerana berlaku ketika Ramadan, namun saya percaya dengan tekad mahu beribadah di Tanah Suci saya akan berjaya dan semuanya akan dipermudahkan,” katanya. 

Muhammad Aidil merupakan antara 20 peserta yang akan mengikuti Jelajah Silaturahim Malaysia Ke Mekah 2024 bermula 21 Mac.

Muhammad Aidil, sebelumnya pernah mengembara bersama bapa, Nursulhi Rahim, 48, ke Sweden menggunakan Perodua Kelisa dan kisah mereka menjadi tular di media sosial.

Namun, berbezanya kali ini, dia akan menempuh perjalanan tanpa bapa di sisi dan segala persiapan dilakukan sendiri.

“Saya mengambil masa lebih sebulan untuk berfikir dan akhirnya membuat keputusan untuk mengikuti kembara ini dengan melakukan persiapan rapi.

“Ini termasuklah memastikan motosikal yang digunakan dalam keadaan baik dan bersedia untuk menempuh perjalanan jauh dan panjang yang dianggarkan mengambil masa kira-kira 100 hari.

“Insya-Allah berbekalkan semangat dan harapan bapa, saya mampu lakukan dan diharapkan orang ramai dapat mendoakan keselamatan saya dan peserta lain,” katanya.

 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here