Utama Berita Automotif Pukul pemandu kereta, polis tahan empat warga Pakistan

Pukul pemandu kereta, polis tahan empat warga Pakistan

851
Polis menahan empat lelaki warga Pakistan kerana memukul pemandu kereta susulan kemalangan jalan raya yang menyebabkan tiga rakan senegara mereka maut di KM16, Jalan Teluk Intan-Bidor, Teluk Intan, pada Rabu.
 
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata empat individu berkenaan ditahan pada jam 4.20 petang Khamis selepas polis mengenalpasti suspek menerusi video tular di laman sosial melibatkan pemandu kereta dan empat lelaki tersebut.
 
Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian memukul pemandu itu berlaku sebaik sahaja selepas nahas jam 8.10 pagi itu.
 
Pemandu berusia 36 tahun didapati positif ganja membuat laporan polis berkenaan insiden dia dipukul pada kira-kira jam 1 tengah hari pada Khamis.
 
Ahmad Adnan berkata tiada kecederaan serius dialami pemandu kereta tersebut melainkan luka di bahagian kepala.
 
“Kes memukul ini telah dibuka siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya.
 
Pada Rabu, tiga lelaki warga Pakistan maut manakala tiga lagi parah dirempuh kereta dipandu suspek ketika berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
 
Dalam kejadian tersebut, Proton Saga dipandu suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan terbabas dan melanggar enam warga Pakistan yang sedang berjalan kaki di bahu jalan.
 
Mangsa yang maut dikenali sebagai Zahir Nur Muhammad, 31; Shayan Mumtazali, 22 dan Adil Noorullah, 33, manakala tiga yang cedera Kamran Muhammad Wali, 26; Yasen Afzalsha, 19 dan Salem Said Rasol, 23, dirawat di Hospital Teluk Intan.
 
Ahmad Adnan berkata pemandu kereta terbabit akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Teluk Intan, esok.
 
Pemandu berkenaan direman empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian.


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here