
Wanita yang maut dalam kemalangan empat kenderaan di KM58.1 Lebuhraya Utara-Selatan malam tadi tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, semakan mendapati pemandu yang maut, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dari Nilai, Negeri Sembilan, memandu tanpa lesen ketika kejadian.
“Siasatan mendapati mangsa yang memandu kereta Proton X50 tidak memiliki lesen memandu yang sah. Dia mengalami kecederaan parah di kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bahrin juga berkata, seorang penumpang lelaki di tempat duduk depan, Mohd Nur Afiji Asamad, 27, dari Kudat, Sabah, mengalami kecederaan kritikal di kepala dan badan serta turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kemalangan yang melibatkan beberapa kenderaan itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya.
Insiden tersebut dipercayai berlaku apabila tayar depan treler pecah hingga menyebabkan ia gagal dikawal sebelum memasuki laluan bertentangan yang dipercayai menjadi punca kemalangan meragut lima maut.
Bahrin berkata pemandu treler membawa muatan mesin itu telah diambil keterangan dan direman pada Jumaat.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki tempatan berusia 35 tahun itu didapati negatif,” katanya.