Projek bukan berada dalam Rizab Laluan Petronas

788

Projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, projek berkenaan bukan berada dalam Rizab Laluan (ROW) Petronas dan diberikan kelulusan serta kebenaran merancang (KM) pada 2022.

“Projek itu melalui proses kelulusan yang sewajarnya termasuk mendapatkan kebenaran daripada Petronas untuk menggunakan ROW bagi laluan Indah Water Konsortium (IWK).

“Selain itu, kontraktor yang tersebut juga panel yang diluluskan oleh IWK dan Petronas,” katanya.

Mengulas dakwaan yang tersebar di media sosial berhubung projek berkenaan, Amirul Azizan berkata, pihaknya tidak akan memberikan sebarang respons rasmi buat masa ini berikutan siasatan terperinci masih dijalankan oleh Petronas, polis dan pihak berkuasa berkaitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat kawasan kejadian kebakaran di Putra Heights

“Buat masa ini, apa yang tersebar di media sosial bukanlah kenyataan rasmi. Kita perlu menunggu hasil siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran dan letupan tersebut,” katanya.

Amirul Azizan berkata projek itu sepatutnya siap pada Disember tahun lalu, namun mengalami sedikit kelewatan kerana masih dalam proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Saya tidak pasti punca sebenar kelewatan ini kerana ia di luar bidang kuasa saya. Mungkin melibatkan faktor kewangan atau lain-lain, tetapi apa yang pasti semua kelulusan diperoleh mengikut prosedur ditetapkan.

“Projek itu mematuhi segala syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Kredit Foto : FB Anwar Ibrahim

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here