Skuter gaya Goldwing, SYM TTLBT bakal masuk Malaysia, 508cc

168

Kalau minat tunggang jarak jauh, tapi mahukan sebuah skuter maxi, MForce Bike Holdings akan membawa masuk SYM TTLBT 508 untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Jentera itu dijangka masuk ke pasaran Malaysia pada tahun depan, mungkin harga ditawarkan bawah RM50,000.

SYM TTLBT 508 bukan calang-calang skuter. Ia skuter touring sebenar, siap dengan teknologi ride-by-wire, cruise control dan pelbagai ciri terkini.

TTLBT mewakili kesinambungan kepada siri BT yang diinspirasikan daripada simbol-simbol mitologi dan budaya klasik. Ia mengikuti jejak FNXBT (Fenice), DRGBT (Drago) dan KRNBT (Kirin). 

Menariknya, TTLBT membawa nama “Tartaruga”, yang bermaksud kura-kura dalam bahasa Itali. BT (Bestia) pula mencerminkan falsafah SYM dalam membina jentera touring berprestasi tinggi.

SYM TTLBT dikuasakan oleh enjin 508cc yang dipadankan dengan teknologi Ride-by-Wire. Ia dipadankan dengan enjin dua silinder bersesaran 508cc yang menyalurkan 45hp pada 6,750rpm dengan tork setinggi 50Nm pada 5,250rpm.

Kuasa itu disalurkan ke kotak gear CVT yang mana pacuan akhir menggunakan rantai, bukannya tali sawat.

Ia kini dilengkapi tiga mod tunggangan utama:

  • Normal + TCS (Full power + Traction Control)
  • Normal (Full power tanpa TCS)
  • Rain (Output terkawal + TCS)

Teknologi ini dikawal oleh sistem pengurusan enjin Vitesco EMS, membolehkan penunggang menyesuaikan gaya pemanduan mengikut keadaan cuaca dan jalan.

Antara tarikan utama ialah skrin sesentuh TFT bersaiz 7 inci yang menawarkan:

  • Tiga skema paparan boleh pilih
  • Mod siang/malam automatik
  • Boleh sambung Apple Carplay

Sistem ini turut menyokong Cruise Control, yang boleh diaktifkan pada kelajuan melebihi 50km/j satu kelebihan besar untuk perjalanan jarak jauh.

Pada masa sama, ia dilengkapi dengan skrin angin boleh laras secara elektrik dengan sudut condong, pemegang dengan pemanas empat tahap yang sesuai untuk cuaca sejuk atau laluan berbukit dan penyandar pinggang boleh laras tiga posisi untuk keselesaan penunggang.

Sesuai untuk skuter touring, TTLBT menyediakan kapasiti simpanan yang sangat luas membabitkan ruang bawah tempat duduk 37 liter dan dua box tepi bersaiz lebih 14 liter. 

Semua komponen itu direka untuk memberikan fleksibiliti maksimum kepada penunggang jarak jauh tanpa mengorbankan gaya atau ergonomik.

GALERI GAMBAR

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here