
Yamaha XMAX 250 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen skuter maxi di pasaran Malaysia.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) rasmi memperkenalkan versi naik taraf XMAX 250 pada harga cadangan RM24,888 seunit.
Versi facelift itu menampilkan lampu hadapan dan belakang jenis LED yang memberikan pencahayaan optimum serta penampilan moden.
Posisi menunggang yang ergonomik dan ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas meningkatkan lagi praktikaliti skuter ini.
Yamaha XMAX 250 dilengkapi dengan ciri-ciri baharu antaranya :
- Panel meter digital dua skrin jenis TFT bersaiz 4.2-inci dan 3.2-inci LCD yang memaparkan pelbagai maklumat tunggangan bersama ketersambungan aplikasi Y-Connect yang membolehkan penunggang mendapatkan notifikasi panggilan, mesej, status bateri telefon, dan maklumat penting lain terus pada skrin meter.
- Dilengkapi Signal Henti Kecemasan (ESS) yang dihidupkan automatik apabila penunggang menekan brek dengan keras.
- Pemetaan semula Kawalan Traksi bagi cengkaman lebih lancar.
- Naik taraf port pengecasan USB-C.
- Visor angin boleh laras elektronik.
- Gabungan cermin sisi dengan lampu signal
- Dua pilihan warna badan Ceramic Grey dan Icon Red
Dijana oleh enjin 249.8cc SOHC penyejukkan cecair, XMAX 250 menghasilkan kuasa 16.8kW @ 7,000rpm dan tork 24.3Nm @ 5,500rpm bersama sistem transmisi V-Belt automatik.
Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dua saluran dan Sistem Kawalan Traksi (TCS) meningkatkan keselamatan penunggang dengan mengurangkan risiko roda terkunci atau hilang cengkaman terutamanya semasa membrek di permukaan licin atau pecutan mendadak.
Dengan tangki bahan api 13 liter dan sistem pancitan bahan api menawarkan penggunaan bahan api yang efisien.
Ciri-ciri tambahan lain yang ditawarkan termasuklah sistem kunci pintar untuk kemudahan operasi tanpa kunci dan soket pengecasan 12V di dalam ruang kokpit.