
Taktik lelaki warga Bangladesh cuba meraih simpati untuk melepaskan diri kononnya mahu mencari wang lebih dengan menawarkan khidmat kereta sewa secara haram gagal ketika ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.
Individu berusia lingkungan 20-an dipercayai pelajar sebuah kolej swasta itu ditahan menerusi operasi dijalankan JPJ Selangor.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, individu terbabit ditahan ketika cuba menawarkan perkhidmatan yang dijalankannya kepada tiga lelaki Bangladesh.
“Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan cuba menawarkan khidmat untuk menghantar kesemua individu terbabit ke lokasi berasingan sekitar Lembah Klang.
“Pemandu terbabit mendakwa baru mencuba kegiatan itu selain memberi alasan datang ke KLIA untuk menghantar rakannya pulang ke Bangladesh,” katanya pada Rabu.
Tindakan dijalankan di bawah Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) selain kenderaan jenis Perodua Bezza digunakan turut disita untuk siasatan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan sah, sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.
“JPJ sama sekali tidak berkompromi berkaitan aktiviti ulat ini, sesiapa yang ditahan akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan,” katanya.