MForce pamer empat model X-Wedge bakal masuk Malaysia

14

Baru-baru ini, MForce Bike Holdings mengesahkan akan membawa masuk jenama motosikal X-Wedge ke pasaran tempatan, sekitar suku ketiga tahun ini.

Baru-baru ini, pada acara pelancaran skuter SYM ADXTG 400, MForce mempamerkan empat buah model X-Wedge yang bakal lancar iaitu Vanguard VT2000, Walker WR1000, Ranger RX2000 dan Rover RL2000.

X-Wedge adalah jenama motosikal baharu dari China di bawah naungan Hisun Motors yang memfokuskan kepada pengeluaran motosikal bergaya kruiser dengan enjin bersesaran besar.

Ia direka untuk menyaingi jenama kruiser popular dari Amerika Syarikat seperti Harley-Davidson namun ditawarkan pada harga lebih mampu milik.

Rekaan motosikal X-Wedge dihasilkan oleh KISKA Design, sebuah syarikat reka bentuk terkenal yang juga bertanggungjawab untuk rekaan motosikal jenama seperti KTM, Husqvarna, dan GasGas.

Jom kenali empat model X-Wedge yang bakal membuat kemunculan ke Malaysia:

  1. Ranger RX2000

Versi kruiser klasik dengan gaya ‘low-slung’ dan jarak roda panjang yang sesuai untuk kaki motor yang meminati penggayaan kruiser asli.

Ia menggunakan enjin 1,976cc V twin dua silinder OHV (Overhead Valves) dengan pushrod, penyejukkan udara yang menghasilkan kuasa 76kW @ 5,000 rpm dan tork 158Nm @ 3,000 rpm

Ditawarkan dengan warna badan Moonlit White, ciri peralatan yang ditawarkan termasuklah pemijak kaki bersaiz besar, lampu LED depan/belakang/signal, gaya bar hendal klasik, pengecas USB, sistem kunci pintar, kemasan aluminium dan fairing logam kualiti tinggi serta panel instrumen analog-digital.

Memiliki penggayaan seakan hardtail, suspensi belakang monoshock tersembunyi yang kemudian dipadankan dengan fork teleskopik bersaiz besar di depan.

Keupayaan menghentikan jentera diserahkan kepada dua brek cakera di depan dan cakera tunggal di belakang.

Selain itu, ia memiliki tangki minyak bersaiz 18 liter dengan tinggi pelana 700mm. 

2. Rover RL2000

Rover RL2000 pula versi ‘abang’ yang lebih mesra untuk kembara jauh yang lengkap dengan kelengkapan tambahan misalnya tujuh ruangan simpanan barangan, sistem audio JBL dan perakam kamera papan pemuka. 

Secara asasnya, RL2000 dan RX2000 berkongsi platform enjin yang sama, iaitu enjin V-Twin 1,976cc.

Namun, perbezaan utama terletak pada fungsi dan kelengkapan yang menjadikan Rover RL2000 sebagai varian touring yang lebih lengkap berbanding Ranger RX2000 yang merupakan kruiser ‘asas’.

Komponen teknikal lain misalnya suspensi, saiz tangki dan berat serta brek turut boleh didapati pada RX2000. 

Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah panel meter LCD 7-inci, fungsi pemanas pada pelana depan/belakang, sistem kawalan elektronik dan transmisi tali sawat serta lampu LED depan dan belakang.

3. Vanguard VT2000

Nah, ini yang unik!. Vanguard VT2000 ni adalah model ‘trike’, maksudnya ia memiliki dua roda di belakang dan satu di depan.

Ia dibina berasaskan platform Rover RL2000, yang menjadikannya sebuah trike bergaya touring yang memfokuskan keselesaan dan kestabilan.

Menggunakan enjin yang sama dengan RL2000, ia dipadankan dengan suspensi teleskopik di depan dan dua rocker independen di belakang.

Ia menggunakan rim 18 inci di depan bersama tayar saiz 130/70 dan rim 15 inci dengan tayar 205/65 di belakang. 

Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah gear undur, skrin TFT 7-inci, sistem audio JBL, navigasi GPS, port USB, dan pelana dengan fungsi pemanas, ruang simpanan barangan di belakang serta lampu depan dan belakang jenis LED.

4. Walker WR1000

X-Wedge Vanguard VT2000 dan Walker WR1000 adalah model tiga roda dari X-Wedge, tetapi sangat berbeza dari segi konsep, reka bentuk, dan spesifikasi teknikal.

Walker dua rodanya diletakkan di bahagian depan seperti Can-Am Spyder. Memang nampak sporty dan moden.

Dengan enjin 1000cc V-Twin dan transmisi CVT, Walker WR1000 menawarkan pengalaman menunggang yang berbeza dari kruiser konvensional.

Menggunakan enjin V-Twin bersesaran lebih kecil, iaitu 976cc, ia menghasilkan kuasa 60kW @ 7,500rpm dan tork 80Nm @ 5,500rpm. 

WR1000 dilengkapi dengan fungsi gear undur yang penting untuk kenderaan tiga roda yang kemudian dipadankan dengan tangki bahan api bersaiz 23 liter dan tinggi pelana 620 mm.

Keselesaan tunggangan diserahkan kepada sistem suspensi rocker independen di depan dan monoshock di belakang bersama sistem brek cakera tunggal depan dan belakang bersama fungsi parking mekanikal.

Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah panel meter LCD 5-inci, sistem kunci pintar, hendal brek parkir, bar hendal boleh laras dan lampu depan dua LED automatik.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here