
Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlanggar sebuah bas yang berhenti di lorong kecemasan di KM18.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan tersebut pada jam 1.50 petang melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah bas jenis Scania yang dipandu oleh lelaki tempatan berusia 38 tahun berhenti di lorong kecemasan dipercayai akibat masalah enjin.
“Pemuda yang berusia 21 tahun itu dipercayai tidak menyedari bas tersebut berhenti lalu melanggar bahagian belakang kenderaan.
“Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, bagi proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), IPD Kulai, bagi membantu siasatan.