Nissan Armada Nismo (2026) – SUV saiz penuh tampil sporti dan bergaya

6

Buat pertama kalinya dalam sejarah, Nissan membawakan pakej berprestasi tinggi Nismo untuk penawaran SUV saiz penuh Armada di pasaran Amerika Syarikat.

Nissan Armada Nismo (2026) menampilkan kit badan penuh yang lebih sporti, suspensi yang telah ditala semula dan lebih berkuasa berbanding penawaran terdahulu.

Kit badan yang dimaksudkan itu merangkumi bampar depan dan belakang, skirt sisi, spoiler belakang, diffuser, dan fender flare yang lengkap dengan kemasan aksen merah pada bahagian tertentu.

Keempat-empat gerbang roda dihiasi dengan rim bersaiz 22 inci yang dibaluti tayar Bridgestone Alenza.

Nissan Armada Nismo dikuasakan oleh enjin bentangan V6 3.5 liter turbo berkembar dengan janaan 460 hp, atau 35 hp lebih bertenaga berbanding model standard.

Selain itu, ia turut mendapat sistem ekzos baharu, talaan pada sistem stereng dan suspensi udara adaptif, serta program pemetaan enjin yang telah disemak semula.

Dengan pakej yang lebih berkuasa, Nissan Armada Nismo mampu menunda beban seberat hampir 4 tan, jadi untuk membawa trailer muatan sebuah Nissan Z tidak akan menjadi satu masalah besar.

Untuk ruang kabin, Armada Nismo ini dipadankan dengan balutan upholsteri dua tona merah hitam, tempat duduk dengan bolster boleh laras, serta aksen berwarna merah pada papan pemuka dan roda stereng. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here