
Sistem aerodinamik aktif bukanlah satu teknologi baharu, ia sudah pun wujud pada kenderaan beroda empat sejak sekian lama.
Teknologi tersebut mungkin sekali akan tampil pada jentera dua roda dalam masa terdekat, berdasarkan paten yang didaftarkan oleh Yamaha.
Menurut laporan CycleWorld, dokumen paten tersebut menunjukkan superbike Yamaha YZF-R1 dengan binaan panel badan yang menampilkan bukaan liang udara untuk tujuan penyejukan dan aerodinamik.
Setiap satu liang tersebut mempunyai dua bilah yang boleh dibuka dan ditutup berdasarkan data daripada sistem komputer termasuklah suhu enjin, posisi pendikit, kelajuan dan suhu penukar bermangkin.
Liang tersebut akan tertutup saat kelajuan meningkat untuk meningkatkan aspek aerodinamik, namun akan dibuka kembali untuk tujuan penyejukan.
Terdapat dua versi rekaan yang ditunjukkan dalam paten tersebut, di mana satu daripadanya menampilkan bukaan liang tunggal di dalam komponen reraup (fairing) di bahagian kiri dan kanan.
Rekaan kedua pula menambah sebuah lagi bukaan liang udara (dua bukaan pada setiap sisi) lengkap dengan bilah yang boleh dibuka dan dikatup untuk kawalan aliran udara yang lebih berkesan.
Superbike Yamaha YZF-R1 telah pun ditamatkan penjualannya di Eropah pada tahun lepas disebabkan ia tidak lagi mampu mematuhi piawaian emisi Euro 5+.
Namun, ia masih lagi boleh didapati secara rasmi untuk kegunaan perlumbaan dan di dalam litar sahaja.