
Seorang pemandu bas ekspres dan tiga penumpang warga asing dikenakan kompaun berjumlah RM1,200 kerana gagal memakai tali pinggang keledar dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Chendering dan Terminal Bas Kuala Terengganu pada Khamis.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, setiap individu dikenakan kompaun RM300 kerana melanggar peraturan keselamatan di bawah Kaedah 4 dan 4A, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan) 2008 selaras dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Pemandu memberi alasan terlupa memakai tali pinggang keledar selepas keluar ke tandas manakala penumpang pula mendakwa tidak tahu kewajipan tersebut.
“Alasan itu tidak boleh diterima kerana hebahan telah lama dilakukan sebelum penguatkuasaan bermula 1 Julai lalu,” katanya.
Menurutnya, pemakaian tali pinggang keledar adalah tanggungjawab bersama, termasuk pemandu yang sepatutnya mengingatkan penumpang sebelum setiap perjalanan bermula.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam operasi itu sebanyak 13 bas ekspres diperiksa dengan empat saman dikeluarkan ke atas individu yang mengabaikan pemakaian alat keselamatan berkenaan.
“Kita ingatkan pengusaha bas agar memastikan semua tali pinggang keledar dalam keadaan baik dan berfungsi, terutama tempat duduk penumpang.
“Kita tidak mahu ada penumpang tidak pakai tali pinggang hanya kerana dakwaan alat keselamatan tidak boleh digunakan,” jelasnya.
Tambah beliau, sejak penguatkuasaan bermula hingga 3 Julai lalu, sebanyak 79 bas telah diperiksa dan pemeriksaan akan diteruskan secara berkala.
Beliau turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama wakil pengusaha bas bagi menyelesaikan isu berkaitan, termasuk aduan mengenai tali pinggang keledar yang rosak.
“Pemeriksaan tertumpu kepada bas keluaran tahun 2020 ke atas. Namun, kita dapati ada juga bas tahun 2024 dengan tali pinggang yang rosak akibat tidak diselenggara.
“JPJ memandang serius perkara ini dan berharap pengusaha bas segera mengambil tindakan,” katanya.