“Tali pinggang keledar dan beg udara selamatkan hentakan ke papan pemuka,”- krew produksi kongsi detik kemalangan

2078

“Saya jenis orang yang kalau mahu pergi kedai berhampiran rumahpun akan pakai seatbelt, dah biasa jadi masuk kereta terus tarik seat belt,” kata salah seorang kru produksi Aziz M. Osman yang terlibat dalam kemalangan di Setiu, Terengganu.

Kamarul Anuar Mohamed Nasir menjelaskan dalam Perodua Alza berkenaan hanya dia seorang yang memakai tali pinggang keledar.

Kamarul Anuar Mohamed Nasir

“Selepas kereta terlanggar tiang lampu, kereta kami berpusing beberapa kali sebelum melanggar tunggul kayu.  Akibat hentakan kuat itu beg udara meletup dan menyelamatkan saya dan Amir yang tercampak dari kerusi belakang.



“Kejadian berlaku cukup pantas keadaan Amir seperti superman yang mana separuh badannya di atas saya dan bahagian kakinya di kerusi belakang,” katanya kepada Motoqar.

 

Tambahnya dia meminta orang ramai membantu mengeluarkan Amir Daniel Suhaimi bagaimanapun kedudukannya yang terbaring itu menyukarkan mereka memberi bantuan. Kamarul membuka tali pinggang keledar lalu keluar dari kenderaan.

“Badan saya tidak boleh bergerak, orang ramai yang tolong angkat saya ke tepi,” jelasnya. 

Walaupun masih tidak dapat mengingati kejadian sepenuhnya, Kamarul menjelaskan tali pinggang keledar itu menyerap hentakan dan merangkul kemas tubuhnya daripada tercampak ke depan dan beg udara menghindari mukanya menghentam papan pemuka.

“Mungkin umur saya masih panjang,” ujarnya.

Kesannya dia cuma mengalami kecederaan otot dan rusuk kiri patah sedikit yang akan sembuh dengan sendiri di samping kesan hitam pada bahagian dahi akibat hentakan pada beg udara. 

Dipindahkan ke Hospital Pantai, Kamarul yang mengalami patah jari tengah dan kelingking serta struktur telapak tangan kiri sudah dibenarkan keluar hari ini selepas menjalani operasi memasukkan plat pada bahagian telapak tangannya. 

Masih lagi trauma, Kamarul menambah pemandu Muhammad Nurshamril Abdul Malek mengalami kecederaan parah dan meninggal di lokasi kejadian. Jelas Kamarul, arwah tersepit di antara kerusi dan stereng serta beg udara tidak terbuka. 

Kejadian yang berlaku Rabu lalu di Kilometer 71, Jalan Kota Bahru-Kuala Terengganu, Setiu itu menyebabkan seorang maut manakala seorang lagi rakannya Nur Azizi Nazril Abd Aziz putus tangan kiri. 

Kamarul menjelaskan dia masih ingat Azizi memeluk erat penyandar kerusinya ketika kereta terlanggar tiang lampu dan berpusing. 

PENTING JADIKAN HABIT PAKAI TALI PINGGANG KELEDAR

Mungkin bagi sebilangan pengguna akan menganggap kalau sudah ajal. Namun tidak salah mencegah dan mengutamakan keselamatan setidaknya apabila kejadian ‘malang tidak berbau’ berlaku tiada perasaan ralat atau bersalah selepas itu.

Merujuk laporan Harian Metro Mac lalu, masih ramai pengguna bersikap sambil lewa terhadap pematuhan pemakaian tali pinggang belakang apatah lagi depan walaupun penguatkuasaan sudah lebih sedekad sejak Januari 2009.

Kadar pemakaian tali pinggang keledar dalam kalangan pengguna jalan raya Malaysia masih di tahap rendah iaitu sekitar 11 peratus.

“Mengikut kajian, sekiranya pemandu dan penumpang kenderaan terbabit nahas jalan raya, risiko kematian dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus tanpa beg udara dan meningkat hingga 80 peratus kalau digunakan bersama tali pinggang,” katanya. 

Jangan ingat penumpang depan sahaja perlu memakai tali pinggang keledar, ini kerana  semua penumpang terdedah dengan risiko apabila kemalangan.

BEG UDARA DAN TALI PINGGANG KELEDAR

Perlu kami ingatkan, tali pinggang keledar dan beg udara merupakan satu pakej yang didatangkan bersama.

Tali pinggang keledar berfungsi sebagai sistem pencegahan utama sementara beg udara adalah sistem pencegahan sekunder. Kedua-duanya sangat penting, tali pinggang keledar berfungsi mengekalkan penumpang di kerusi atau tercampak keluar manakala beg udara berfungsi sebagai bantal mengurangkan hentaman bahagian kepala, leher dan dada.

Ini kerana hentaman akibat pelanggaran akan menjunamkan penumpang belakang ke kerusi depan.  Hentaman daripada berat penumpang belakang begitu kuat dan berupaya menolak mereka yang duduk di depan hingga terlanggar papan pemuka.

Menggunakan tali pinggang keledar adalah cara murah dan mudah untuk mengurangkan risiko kecederaan parah sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.

Nota kaki: Kenalan rapat penulis juga ramai yang ketegaq pakai tali pinggang keledar, berbuih mulut ingatkan tinggal lagi tak baca talkin di telinga. 

 
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here