
Sebuah lori disaman RM300 selepas didapati menghalang laluan jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), yang sedang menggunakan siren kecemasan ketika dalam perjalanan ke satu lokasi di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Mohamad Nazri Daud berkata pihaknya mengeluarkan saman ke atas lori jenis kabin tersebut, selepas video itu tular di media sosial.
“Dalam rakaman itu, jentera bomba dilihat berusaha untuk memotong lori tersebut tetapi kenderaan itu seolah-olah tidak memberi laluan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap keselamatan dan keutamaan kenderaan penyelamat ketika menjalankan tugas kecemasan.
“Susulan daripada penularan video tersebut, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar telah mengambil tindakan segera terhadap pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati bahawa pemandu lori berkenaan tidak menyedari kehadiran jentera bomba tersebut disebabkan oleh bunyi enjin lori yang kuat dan keadaan tingkap tertutup menyukarkan dia mendengar siren jentera tersebut.
Mohamad Nazi berkata sehubungan itu, pihak polis telah mengeluarkan saman di bawah Seksyen 9(2), Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 (In166/59) kerana gagal memberikan laluan kepada kenderaan bomba yang sedang menjalankan tugas kecemasan.
“PDRM ingin menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab semua pengguna jalan raya untuk memberi laluan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans, polis dan bomba, apabila siren atau lampu amaran digunakan,” katanya.