
Tesla menandatangani perjanjian bernilai USD16.5 bilion (RM70 bilion) dengan Samsung Electronic bagi penghasilan cip A16, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk.
Saham Samsung melonjak sebanyak 6.8 peratus ke paras tertinggi sejak September tahun lalu selepas berita mengenai perjanjian itu manakala saham Tesla pula meningkat 1.9 peratus dalam dagangan pra-pasaran Amerika.
Musk berkata kilang cip baharu Samsung di Taylor, Texas akan menghasilkan cip AI6 generasi baharu untuk Tesla yang berpotensi memberikan tenaga baharu kepada projek yang telah menghadapi kelewatan akibat kesukaran Samsung untuk mengekalkan dan menarik pelanggan utama.
“Samsung bersetuju untuk membenarkan Tesla membantu dalam memaksimumkan kecekapan pembuatan.
“Ini adalah titik kritikal, kerana saya sendiri akan memantau untuk mempercepatkan rentak kemajuan. Dan kilang itu terletak tidak jauh dari rumah saya,” kata Musk dalam satu hantaran di X.
Jelas beliau lagi, nilai USD16.5 bilion hanyalah minimum yang mana pengeluaran sebenar kemungkinan akan meningkat lebih tinggi.
Menurut penganalisis kanan di NH Investment and Securities, Ryu Young-ho, kilang Samsung di Taylor hampir tiada pelanggan dan tempahan Tesla membantu syarikat berkenaan.
PENGELUARAN 2027
Pada Oktober, Reuters melaporkan Samsung telah menangguhkan penghantaran peralatan pembuatan cip ASML untuk kilangnya di Texas kerana masih tidak mendapatkan pelanggan utama untuk projek itu.
Walaupun tiada garis masa diberikan untuk pengeluaran cip AI6, Musk sebelum ini menyatakan bahawa cip AI5 generasi seterusnya akan dihasilkan pada akhir 2026, memberi bayangan AI6 akan menyusul.
Lee Dong-ju, seorang penganalisis di SK Securities, menjangkakan pengeluaran pada 2027 atau 2028, namun Tesla mempunyai sejarah tidak mencapai sasarannya.
Samsung kini menghasilkan cip AI4 Tesla yang menyokong sistem bantuan pemandu autonomi penuh syarikat, manakala TSMC (Taiwan Semiconductor Manufacturing Company) dijadualkan menghasilkan AI5 bermula di Taiwan dan kemudian di Arizona, kata Musk.
Projek di Texas ini adalah penting kepada strategi Pengerusi Samsung, Jay Y. Lee, untuk berkembang melangkaui cip memori terasnya ke dalam pembuatan cip kontrak.
Para penganalisis mengatakan Samsung bergelut untuk mengekalkan pelanggan utama, kerana ramai yang beralih kepada TSMC untuk cip canggih, menekankan cabaran teknologi yang dihadapi firma itu dalam persaingan untuk kekal relevan dalam perniagaan yang memerlukan modal intensif ini.
Antara pelanggan utama TSMC adalah Apple, Nvidia, dan Qualcomm.
Tidak jelas sama ada perjanjian Samsung-Tesla ini berkaitan dengan rundingan perdagangan yang sedang berlangsung antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
Seoul sedang mencari perkongsian Amerika dalam bidang cip dan pembinaan kapal di tengah-tengah usaha saat akhir untuk mencapai perjanjian perdagangan bagi menghapuskan atau mengurangkan potensi tarif 25 peratus.