Pastikan kerja berkualiti, KKR letak skop baharu perjanjian konsesi selenggara jalan

33

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan tempoh perjanjian atau kontrak penyelenggaraan jalan Persekutuan beberapa syarikat konsesi akan tamat tahun depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata bagi memastikan kerja yang dilakukan berkualiti, pihaknya telah meletakkan skop baharu dalam perjanjian bagi syarikat konsesi yang bakal dilantik dengan memasukkan pelantikan juruaudit luar.

“Kami letakkan skop baharu di dalam perjanjian syarikat konsesi yang akan dilantik tahun depan untuk dimasukkan pelantikan ‘auditor’ luar.

“Ia supaya kualiti kerja yang dikendalikan oleh syarikat konsesi ini lebih terjamin kualitinya berbanding sekarang,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai pendekatan yang sedang dirancang oleh KKR bagi memastikan aspek penyelenggaraan jalan raya diberikan perhatian secara lebih seimbang.

Alexander berkata, penambahbaikan itu dilaksanakan pihaknya bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya lebih baik di masa hadapan.

“Disebabkan itu, kita masukkan skop lantikan ‘auditor’ luar bagi membantu kita memastikan kualiti kerja mereka lebih baik dan sempurna untuk keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here