KTM mahu tamatkan projek supercar, tumpu perhatian pada motosikal sahaja

13

Pengeluar motosikal KTM berdepan dengan pelbagai cabaran getir sepanjang tempoh 12 bulan yang lalu.

Setelah syarikat gergasi Austria itu diselamatkan oleh Bajaj, KTM membuat keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada segmen motosikal pada masa hadapan.

Ini bermakna, segala projek sampingan termasuklah perniagaan basikal dan supercar akan ditamatkan.

Dalam satu temu bual bersama Cycle World, CEO KTM Gottfried Neumeister berkata, “langkah yang paling cepat perlu diambil dalam penstrukturan semula ialah mengenepikan perniagaan basikal. Ia akan dibuat menjelang akhir tahun ini.

“Selain itu, keputusan untuk menghentikan jualan bagi CFMoto telah diambil secara bersama dengan rakan kongsi kami, memandangkan kami perlu memfokuskan semula kepada jenama kami.

“Kami juga sedang dalam proses untuk menjual supercar X-Bow,” ujarnya.

Perniagaan supercar tidak mendatangkan hasil lumayan kepada KTM, memandangkan pada tahun lepas syarikat itu hanya menjual sebanyak 36 unit X-Bow sahaja.

“(X-Bow) merupakan sebuah projek super, dan kami berjaya membuktikan keupayaan sebenar kami dan mempunyai salah satu daripada jurutera terbaik di dunia. 



“Namun projek itu tidak membantu kami menjual motosikal dengan laris,” ujarnya lagi.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here