Amerika rancang kawal eksport cip AI Nvidia, sasar Malaysia

148

Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mengetatkan kawalan eksport cip kecerdasan buatan (AI) termaju Nvidia, khususnya menyasarkan Malaysia dan Thailand bagi menghalang syarikat China mendapatkan pemproses tersebut untuk melatih model AI mereka.

Menurut laporan Bloomberg, Jabatan Perdagangan AS sedang merangka versi awal peraturan eksport baharu yang akan mewajibkan syarikat mendapatkan lesen sebelum mengeksport unit pemprosesan grafik (GPU) AI ke kedua-dua negara Asia Tenggara tersebut.

Sumber menyatakan bahawa peraturan baharu itu masih dalam proses akhir dan mungkin tertakluk kepada perubahan. Ia juga menyebut peraturan baharu itu akan merangkumi beberapa langkah untuk memastikan ia tidak mengganggu rantaian bekalan di Asia Tenggara.

Cip H100

Laporan tersebut disusuli dengan temubual seorang pegawai kanan Jabatan Negara yang memaklumkan bahawa DeepSeek dari China cuba menggunakan syarikat cengkerang (shell company) di Asia Tenggara untuk mendapatkan cip Nvidia termasuk cip H100, yang tidak boleh dihantar ke China di bawah peraturan AS.

Sejak akhir Jun, media melaporkan AS telah mula melonggarkan kawalan eksportnya bagi perisian automasi reka bentuk elektronik (EDA), komponen enjin yang digunakan dalam C919 China, dan produk etana.

Sebagai balasan, Beijing melonggarkan kawalan eksportnya ke atas mineral utama untuk AS.

Namun, penurunan ketegangan perang perdagangan AS-China tidak bermakna Washington akan menghentikan rancangannya untuk meneruskan pemisahan strategiknya daripada China.

TIADA PELAYAN DIPINDAHKAN KE MALAYSIA

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Zafrul Aziz pada Mac lalu menyatakan AS telah meminta kerajaan Malaysia untuk memantau setiap penghantaran cip Nvidia yang tiba di Malaysia.

Beliau berkata tiada keputusan atau laporan menunjukkan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia dalam pelayan dipindahkan ke Malaysia dari Singapura sebagaimana yang didakwa. 

“Kita telah memulakan penyiasatan bersama-sama dengan agensi berkaitan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak dari Amerika Syarikat (AS).

“Buat masa ini, tidak ada lagi keputusan ataupun laporan yang menunjukkan (perkara itu) memang ada,” katanya.

Gesaan Washington agar penyiasatan dijalankan terhadap pengguna akhir cip AI Nvidia di Malaysia susulan pendakwaan Singapura pada Februari lalu terhadap tiga lelaki.

Mereka didakwa membantu menghantar cip canggih Nvidia kepada DeepSeek di China pada 2024. Laporan media menyatakan kes itu melibatkan cip AI bernilai USD390 juta (RM1.7 bilion).

Defendan, termasuk dua warga Singapura dan seorang warga China, dituduh menghantar pelayan yang mengandungi cip Nvidia ke Malaysia dan berkemungkinan ke lokasi lain.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pada 13 Mei, Biro Industri dan Keselamatan (BIS) Jabatan Perdagangan AS telah membatalkan peraturan penyebaran AI pentadbiran Biden dan menggantikannya dengan tiga garis panduan untuk melarang syarikat daripada:

  • Menggunakan cip Ascend
  • Menggunakan cip AS untuk membantu firma China melatih model AI mereka
  • Mengeksport semula cip canggih AS ke China

Garis panduan itu menyatakan pengeksport, pengeksport semula, atau pemindah cip AI perlu memohon lesen jika mengetahui pelanggan mereka akan menggunakan pemproses tersebut untuk melatih model AI atau bagi pihak syarikat yang beribu pejabat di negara-negara yang dikenakan embargo senjata AS (atau negara D:5), termasuk China dan Macau.

The Wall Street Journal melaporkan pada 12 Jun bahawa empat jurutera teknologi China terbang dari Beijing ke Kuala Lumpur, setiap seorang membawa 15 cakera keras dengan 80 TB data setiap cakera untuk melatih model AI.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here