Dua warga asing ditahan cuba seludup 1,550 liter petrol

33
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menahan dua warga asing yang cuba menyeludup 1,550 liter petrol ke negara jiran, pada Rabu.
 
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot kargo tersebut cuba melarikan diri ketika dihampiri bot peronda Maritim sebelum berjaya ditahan pada jam 1.35 pagi, jarak kira-kira 0.8 batu nautika barat Pulau Berhala.
 
“Hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak 62 jerrycan berisi 1,550 liter minyak petrol ditemui dan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
 
 
“Selain itu, tekong dan kru bot turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala bot kargo berkenaan dipercayai tidak mempunyai lesen operasi,”  katanya. 
 
Beliau berkata keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM27,000 dan dua individu yang ditahan masing-masing berusia 42 dan 38 tahun.
 
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan penyeludupan barangan kawalan, kemasukan individu tanpa permit sah dan pengendalian vesel tanpa dokumen sah.
 
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim terus ke Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-222519 atau talian kecemasan 999 agar tindakan segera dapat diambil.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here