Mekanik mabuk langgar kereta dipenjara sembilan bulan

49

Mekanik dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM10,500 oleh Mahkamah Majistret Tawau selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar kenderaan lain ketika cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya, Mac lalu.

Tertuduh, Ng Vui Ken, 34, membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Chong Thien Vun, Tawau kira-kira jam 11.30 malam pada 23 Mac lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan dan denda RM10,000, jika gagal bayar, tambahan hukuman penjara selama dua bulan.

Lelaki itu turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 79(1) akta yang sama kerana tidak mematuhi arahan pegawai polis dan bagi kesalahan berkenaan dia didenda RM500 dan jika gagal bayar, penjara satu bulan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda-denda berkenaan.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan sudah insaf dan amat menyesali perbuatannya.

Bagaimanapun, Joan meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak memandang ringan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurutnya, dalam kes itu, tertuduh memandu dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol lima kali ganda melebihi had dibenarkan, serta melarikan diri dari sekatan jalan raya.

Mahkamah turut menggantung kelayakan tertuduh untuk memegang atau memohon lesen memandu selama tempoh dua tahun. Hukuman berkuat kuasa dari tarikh sabitan, hari ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here