
Pempengaruh media sosial, Tok Singa berkongsi pengalaman kurang menyenangkan apabila konvoi melibatkan 17 penunggang motosikal berdepan tindakan penguatkuasaan di Thailand.
Menurut Tok Singa, sebelum melepasi sempadan Thailand, kumpulan berkenaan ditahan dan diperiksa terlebih dahulu oleh pihak Polis Trafik Malaysia yang mana pemeriksaan mendapati semuanya teratur dan mereka dilepaskan tanpa sebarang masalah.
Namun, konvoi berkenaan mendakwa ditahan dan diiring ke balai polis oleh penguatkuasa trafik Thailand untuk pemeriksaan sebaik tiba di Hatyai serta mendakwa seolah menjadi ‘sasaran’ pelancong dari Malaysia.
“Kami disaman, ada 15 saman sekitar THB15,000 yang mana lebih kurang RM1,000 lebih duit kami. Polis Thailand tidak bagi lampu yang berkelip-kelip, ekzos bunyi bising, dan berbagai lagi.
“Untuk maklumat tuan-tuan kami bukan tidak ikut peraturan, sebelum masuk border kami ditahan polis trafik Malaysia dan Alhamdulilah semua lepas,” ujarnya menerusi video di akaun Facebook.

Jelasnya, walaupun akur dengan undang-undang negara jiran, tindakan penguatkuasa berkenaan menimbulkan tanda tanya apabila motosikal dengan ekzos standard kilang turut dikenakan saman atas alasan “bising”.
Ada ahli yang disaman kerana tertinggal geran dan insurans di hotel selepas mendaftar masuk penginapan.
“Ada yang kena tiga saman iaitu insurans, geran dan motor bunyi bising, rasa tidak puas hati seorang anggota sahaja buat kerja dan masa kami terbuang hampir tiga jam,” ujarnya.
Terdapat juga isu yang mana lesen memandu cetakan atas talian tanpa gambar tidak diterima oleh pihak berkuasa negara jiran itu.
Pihak polis Thailand didakwa mengeluarkan amaran bahawa mereka yang lewat menjelaska saman tersebut akan ditahan di lokap.
Mereka turut diberitahu pada masa hadapan sekiranya pelancong Malaysia disaman, mereka diarahkan untuk membuka paip ekzos) di tempat kejadian dan menukarnya kepada yang original pada masa kejadian yang dianggap sangat menyusahkan.
Kumpulan ini menasihatkan rakyat Malaysia supaya mempertimbangkan semula hasrat untuk melawat Hatyai menaiki motosikal kerana merasakan layanan dan undang-undang yang dikuatkuasakan seakan-akan mencari kesalahan pelancong Malaysia, sedangkan tujuan asal kedatangan mereka hanyalah untuk melancong, menikmati makanan, dan melawat tempat menarik seperti Masjid Songkhla.
































