
Seorang anggota polis cedera selepas ditikam oleh seorang lelaki semasa menjalankan pemeriksaan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada Khamis.
Ketika kejadian, anggota yang bertugas di Balai Polis Pudu itu dilaporkan sedang melakukan tugasan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan tersebut.
Menurut sumber, suspek menikam mangsa menggunakan pisau di bahagian perut ketika sedang diperiksa.
“Selepas menikam mangsa, suspek terus melarikan diri. Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Anggota polis itu dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras untuk rawatan lanjut,” katanya.
Difahamkan pihak polis turut merampas pisau yang digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, suspek yang berusia 56 tahun dipercayai memiliki 14 rekod jenayah lampau,” katanya.